AGENDA

KBS tumpu naik taraf kemudahan sukan di luar bandar seluruh negara

18 Jul 2025, 1:24 PM
KBS tumpu naik taraf kemudahan sukan di luar bandar seluruh negara

SIK, 18 JUL: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi keutamaan kepada usaha penambahbaikan fasiliti sukan di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli berkata keperluan fasiliti sukan di kawasan luar bandar berbeza mengikut lokasi dan memerlukan perancangan agar dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

"Jika ada fasiliti sukan yang perlu pembaikan, ia tidak boleh selesai dalam satu malam jadi kita mula gerak kerja dari awal supaya kita dapat ambil tindakan.

"Apa yang KBS mampu selesaikan di bawah kapasiti KBS, kita akan selesaikan dan jika membabitkan kementerian lain kita akan panjangkan hasrat itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Dialog Awam Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) 2.0 Zon Utara di Kolej KEDA Sik di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Program Kembara JOM Zon Utara yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Desa KEDA Sungai Senam di sini memberikan pengalaman baharu kepada lebih 90 peserta.

"Program ini umpama serampang dua mata, pertama memberi pengalaman kepada belia untuk melibatkan diri dengan persatuan pelajar dan belia serta melihat sendiri realiti kehidupan luar bandar. Kedua, ia membolehkan KBS melihat keperluan mendesak di kawasan berkenaan.

"Program ini dapat menguji ketahanan semua peserta menerusi konsep anak angkat yang bermalam di rumah keluarga angkat masing-masing," katanya.

Adam berkata program sama akan diteruskan ke negeri-negeri lain seperti di Perak, Sabah, Sarawak, Pahang dan Melaka.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619