ADN

MBSJ peruntuk RM10,000 naik taraf Bazar Rakyat Seri Kembangan

18 Jul 2025, 10:25 AM
MBSJ peruntuk RM10,000 naik taraf Bazar Rakyat Seri Kembangan

OLEH LAU SOOK MAY

SUBANG JAYA, 18 JULAI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperuntukkan sejumlah RM10,000 bagi menaik taraf Bazar Rakyat Seri Kembangan di sini.

Ahli Majlis MBSJ Zon 22, Tey Boon Kiat, berkata kerja naik taraf melibatkan penggantian kipas, lampu tiub, tiang besi rosak, sistem perparitan dan pondok keselamatan bagi memastikan peniaga dapat menjalankan perniagaan dengan lebih selesa.

“Sebanyak 30 lampu dan sembilan kipas telah diganti serta dipasang. Setiap kali hujan lebat, pondok pengawal di pasar akan dilanda banjir, ditambah pula dengan sistem perparitan yang telah rosak dan perlu dinaik taraf.

“Tiang besi di pasar juga telah berkarat dan demi keselamatan peniaga serta penduduk, kami telah menggantikannya sepenuhnya,” katanya pada sidang media di pasar berkenaan.

Beliau turut memaklumkan terdapat 15 lot kosong di pasar tersebut dan penduduk tempatan yang berminat boleh membuat permohonan apabila dibuka nanti.

“Saya telah berbincang mengenai perkara ini bersama MBSJ. Permohonan dijangka dibuka pada bulan Ogos untuk mereka yang ingin memulakan perniagaan kering atau basah. Butiran lanjut akan dimaklumkan melalui Facebook,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki berkata pasar adalah kemudahan terbaik untuk rakyat yang kurang mampu membeli bahan mentah yang segar serta barangan keperluan harian.

“Ia juga memberi peluang kepada peniaga kecil untuk memulakan perniagaan dengan kos rendah. Jadi, jika ada yang ingin menjalankan perniagaan, pasar merupakan pilihan dan permulaan untuk menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619