SHAH ALAM. 18 JULAI: Sebanyak 3,930 kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sepanjang tiga hari pelaksanaan Ops Terjah Tempat Letak Kenderaan.
MPAJ memaklumkan, menerusi operasi sejak Selasa hingga semalam, kompuan dikeluarkan bagi kenderaan yang gagal membuat bayaran caj tempat letak kereta di Taman Muda, Pandan Indah Industri dan Pandan Jaya.
Menurutnya, dengan kekuatan 10 anggota Jabatan Penguatkuasaan MPAJ, operasi turut meliputi tindakan semakan aduan dan pembukaan kaunter bayaran kompaun.
“Selain kompaun, dua sitaan dilaksanakan, enam aduan diambil tindakan serta sebanyak 248 kompaun dibayar melalui kaunter bayaran yang telah disediakan.
“Ops Terjah akan dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa di kesemua kawasan tempat letak kereta yang diwartakan dalam pentadbiran MPAJ,” katanya di Facebook hari ini.
MPAJ turut menasihatkan orang awam untuk menjelaskan sebarang kompaun yang dikenakan bagi mengelak sebarang tindakan perundangan lanjut diambil.
Menurutnya, sebarang semakan lanjut berhubung pembayaran kompaun boleh menerusi talian Jabatan Penguatkuasaan 03-4285 7024 atau terus e-mel kepada [email protected]