AGENDA

Wan Ahmad Farid dilantik sebagai ketua hakim negara baharu

18 Jul 2025, 12:54 AM
Wan Ahmad Farid dilantik sebagai ketua hakim negara baharu

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abu Bakar Jais dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, manakala Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azizah Nawawi dilantik menggantikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang akan bersara.

“Majlis penyampaian watikah pelantikan serta istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara,” menurut kenyataan itu.

Wan Ahmad Farid, 62, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lepas.

Abu Bakar, 63, pula mengisi kekosongan jawatan Presiden Mahkamah Rayuan susulan persaraan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim pada 3 Julai lepas, manakala Azizah, 63, akan menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bakal bersara pada 25 Julai ini.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619