ad
AGENDA

Tiga suspek kes pukul dicari, mangsa pula direman kerana mencuri

18 Jul 2025, 12:24 AM
Tiga suspek kes pukul dicari, mangsa pula direman kerana mencuri

NIBONG TEBAL, 18 JULAI: Polis sedang mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan kejadian pukul seorang lelaki dekat sini yang videonya tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata pihaknya mengesan rakaman video berdurasi dua minit lima saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki dipukul dan dipaksa masuk ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda oleh tiga individu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 7.16 malam semalam dan dipercayai berpunca daripada dakwaan kecurian barang kemas melibatkan mangsa.

“Dalam rakaman itu, tiga lelaki dilihat memukul mangsa di bahagian kepala dan badan tanpa menggunakan sebarang senjata sebelum memaksanya masuk ke dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata berikutan kejadian itu, mangsa telah menerima rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan di muka serta kepala dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Jay January berkata lelaki itu juga ditangkap untuk siasatan bagi satu kes curi dan kini direman selama empat hari hingga 20 Julai.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.