ad
AGENDA

Sultan Selangor seru semua pihak elak spekulasi pemilihan hakim

17 Jul 2025, 4:07 AM
Sultan Selangor seru semua pihak elak spekulasi pemilihan hakim

SHAH ALAM, 17 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menegaskan proses rundingan bagi pelantikan badan kehakiman termasuk Ketua Hakim Negara akan dilaksana secara telus demi memelihara kedaulatan undang-undang.

Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, pelantikan turut melibatkan jawatan presiden Mahkamah Rayuan, hakim Besar Sabah Sarawak serta barisan hakim mahkamah atasan juga perlu mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras utama pemerintahan negara.

“Proses yang diperuntuk di bawah Perlembagaan Persekutuan ini perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati. Sehubungan itu semua pihak diseru agar mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa fakta lengkap dan kesahihan,” titah Baginda menerusi kenyataan.

Sultan Sharafuddin turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Istana Negara berhubung pelantikan kepimpinan badan kehakiman, yang boleh dibuat DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas rundingan Majlis Raja-Raja serta mendapat nasihat perdana menteri.

Dalam kenyataan sama, Baginda bertitah bahawa Baginda telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 di Istana Negara semalam dan isu berhubung rundingan pelantikan jawatan-jawatan terbabit menjadi agenda utama perbincangan.

“Dalam proses rundingan tersebut, Beta menekankan keperluan untuk mematuhi setiap peruntukan undang-undang khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tentang proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan,” titah Baginda.

Pada 10 Julai, Istana Negara mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan pelantikan hakim mahkamah atasan, susulan kritikan kelewatan dalam pelantikan berkaitan yang disifatkan mencetuskan krisis perlembagaan.

Menerusi kenyataan, istana memaklumkan pelantikan itu merupakan urusan kenegaraan yang penting dan perlu ditangani dengan penuh cermat dan integriti.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.