Oleh: Dewi Abdul Rahman
AMPANG JAYA, 16 JULAI: Premis makanan, kedai runcit dan pasar raya di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang dikenal pasti berisiko menjadi punca pembiakan tikus akan dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam & Sekretariat MPAJ Norhayati Ahmad berkata, langkah memperluaskan penguatkuasaan itu merupakan antara usaha berterusan pihak berkuasa tempatan untuk mengawal populasi haiwan perosak itu daripada terus membiak.
“MPAJ ketika ini juga giat menjalankan kempen membasmi tikus di kawasan pasar awam seperti Pasar Besar Ampang.
“Dari segi pemilihan lokasi, ia dibuat berdasarkan pemantauan populasi tikus selama tujuh hari di beberapa pasar seperti Pasar Pekan Ampang, Pasar Pandan Jaya, Pasar Tasik Tambahan dan Pasar Kuala Ampang.
“Pasar Pekan Ampang dipilih kerana mencatat jumlah populasi tikus tertinggi,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_710713" align="aligncenter" width="1123"] Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menawarkan ganjaran wang tunai RM3 bagi tikus yang ditangkap sempena kempen basmi haiwan perosak anjuran MPAJ dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 8 di Pasar Pekan Ampang pada 16 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Menurutnya, kempen yang dilaksanakan itu merupakan inisiatif MPAJ untuk menyokong Kempen Membasmi Tikus dan Kempen Pasar Awam Bersih yang digerakkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam usaha mengawal populasi tikus bersama komuniti setempat, selain tindakan konvensional seperti taburan racun dan pembersihan kawasan.
“Tindakan kawalan menggunakan racun tikus di kawasan tumpuan juga dilaksanakan, selain menutup lubang yang menjadi sarang pembiakan tikus,” ujarnya.
Tambahnya, MPAJ juga akan melaksanakan kajian indeks tikus di Pasar Pekan Ampang bagi menilai tahap populasi dan memastikan keberkesanan kempen yang sedang digerakkan di kawasan terlibat.
“Setakat ini, 25 ekor tikus ditangkap oleh orang awam melalui kaunter pembelian tikus yang dibuka di Pasar Pekan Ampang.
“Ganjaran tunai turut diberikan sebagai dorongan kepada penduduk untuk turut serta menjayakan kempen ini,” katanya.
MPAJ menawarkan ganjaran wang tunai RM3 bagi setiap tikus yang ditangkap sepanjang kempen itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 8.
Kaunter tuntutan ganjaran wang tunai dibuka bermula 8 sehingga 25 Julai ini, 9.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari di perkarangan Pasar Pekan Ampang.
Ganjaran itu bagi menggalakkan pembabitan masyarakat dalam usaha mewujudkan persekitaran bersih, khususnya di Pasar Pekan Ampang dan kawasan sekitar.
[caption id="attachment_710699" align="aligncenter" width="1410"] Pintu masuk utama Pasar Pekan Ampang kelihatan bersih ketika tinjauan sempena Kempen Basmi Tikus di premis berkenaan pada 16 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]