ad
BERITA UTAMA

EXCO: Selangor ganti hampir 800km paip lama sejak tahun lalu

16 Jul 2025, 1:02 PM
EXCO: Selangor ganti hampir 800km paip lama sejak tahun lalu
EXCO: Selangor ganti hampir 800km paip lama sejak tahun lalu
EXCO: Selangor ganti hampir 800km paip lama sejak tahun lalu

SHAH ALAM, 16 JUL: Hampir 800km paip lama di Selangor diganti sejak tahun lalu hasil usaha Kerajaan Negeri meningkatkan kadar penggantian kepada 300km setahun bagi mengurangkan risiko paip pecah dan gangguan bekalan.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata langkah itu sebahagian daripada program menyeluruh untuk menggantikan kira-kira 5,200km paip lama secara berperingkat di seluruh negeri.

[caption id="attachment_710685" align="aligncenter" width="812"] EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim ditemu bual di pejabatnya di Bangunan Pentadbiran Negeri, Shah Alam pada 16 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

“Dulu kita gantikan 150km setahun tetapi kini ditingkat kepada 300km kerana kebanyakan paip jenis simen asbestos (AC) hanya bertahan sekitar 20 tahun. Malah ada yang digunakan sehingga 40 tahun dan sudah pecah.

“Sebab itu kita naikkan sasaran kepada 300km setahun biarpun kos penggantian mencecah RM400 hingga RM450 juta,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, cabaran utama pelaksanaan projek ini ialah jajaran paip yang melalui kawasan berpenduduk padat dan perlu mengelak pelbagai utiliti bawah tanah.

“Masalah bukan pada perbelanjaan, tetapi pelaksanaan. Banyak jajaran paip melibatkan kawasan padat, kabel bawah tanah dan utiliti lain.

“Jadi, saya arahkan permit penggantian diselesaikan lebih awal. Bagi projek tahun depan, permohonan dan kelulusan kita uruskan tahun ini,” katanya.

Izham turut menjelaskan bahawa Koridor Utiliti Selangor (Kusel) diminta membantu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyelaras jajaran bagi memastikan kelancaran kerja penggantian.

Kerajaan Negeri memulakan langkah agresif dengan menaikkan kadar penggantian paip kepada 300km setahun bermula tahun lalu dan dijangka mencecah 400km setahun menjelang 2034.

Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan sebanyak 1,008km paip usang sudah diganti sejak 2016 hingga Disember 2024. Bagaimanapun 800km yang dinyatakan Izham adalah merujuk kepada penggantian terkini hasil peningkatan kadar tahunan.

Usaha itu turut mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menzahirkan kegembiraan terhadap inisiatif Kerajaan Negeri dalam menangani isu bekalan air.

Baginda turut menggesa semua pihak memberi kerjasama bagi mempercepat proses penggantian paip demi manfaat rakyat, selain menghargai langkah kerajaan menanggung kenaikan tarif air bagi penerima Skim Air Darul Ehsan (SADE), sekolah, masjid, surau dan rumah ibadat lain.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.