AGENDA

Kes tembak mati di kedai makan, lelaki warga asing direman tujuh hari

16 Jul 2025, 8:30 AM
Kes tembak mati di kedai makan, lelaki warga asing direman tujuh hari

JOHOR BAHRU, 16 JULAI: Seorang lelaki warga asing direman tujuh hari hingga Selasa depan bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang ditembak di sebuah kedai makan di Taman Setia Indah di sini pada 8 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata lelaki warga asing berusia 65 tahun itu ditahan kira-kira 4.30 petang semalam di sekitar Johor Bahru.

"Disahkan ada tangkapan semalam melibatkan seorang lelaki warganegara asing berusia 65 tahun di sekitar pusat bandar raya Johor Bahru dan kini masih lagi dalam siasatan untuk mengesahkan pembabitan dalam kes ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, mengenai status sembilan suspek yang direman Mac lepas berkaitan kes sama, Raub berkata kesemua suspek telah dibebaskan.

"Kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan berkeputusan dibebaskan," katanya ringkas.

Sebelum ini, media melaporkan sembilan suspek berusia 36 hingga 66 tahun dipercayai ahli kongsi gelap direman bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki dalam kejadian tembakan di sebuah kedai makan di Taman Setia Indah di sini 8 Januari lalu.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar dilaporkan berkata kesemua ditahan menerusi beberapa operasi berasingan di sekitar bandar raya itu pada 8 dan 17 Mac lalu.

Beliau berkata sebelum tangkapan sembilan lelaki terbabit, seorang lagi suspek berumur 64 tahun dipercayai terlibat dalam insiden pembunuhan itu ditembak mati oleh polis ketika operasi pertama dijalankan.

Menerusi serbuan tersebut juga, polis turut merampas dua pucuk pistol, peluru, dadah dan pistol angin dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api, Seksyen 8(a) serta Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619