AGENDA

PDRM terajui NSRC, perkukuh tindak balas penipuan kewangan dalam talian

16 Jul 2025, 5:45 AM
PDRM terajui NSRC, perkukuh tindak balas penipuan kewangan dalam talian

PUTRAJAYA, 16 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini secara rasmi menerajui operasi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) berkuat kuasa serta-merta, sebagai langkah memperkukuh tindak balas terhadap penipuan kewangan dalam talian.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah berkenaan dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan kes penipuan kewangan dalam talian yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata sebelum ini tiada satu agensi peneraju jelas dalam NSRC yang terdiri daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Secara purata, NSRC menerusi talian 997 itu menerima hampir 500 panggilan sehari dan kerugian pula mencecah RM1.6 bilion mengikut data terkini daripada Majlis Sosial Negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KDN Datuk Awang Alik Jeman dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Saifuddin Nasution berkata buat masa ini, penugasan NSRC dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan 139 jawatan baharu bakal diwujudkan untuk pengoperasian di pusat itu.

Beliau berkata satu lokasi baharu turut dikenal pasti bagi menempatkan pejabat NSRC berbanding lokasi sedia ada di BNM, Kuala Lumpur.

“Penyelarasan pengisian jawatan dan keperluan logistik kini sedang diuruskan antara Ketua Setiausaha KDN dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Beliau berkata PDRM akan menumpukan kepada usaha penelitian semula beberapa perkara seperti peraturan semasa dan peranan institusi perbankan bagi memastikan operasi tindak balas penipuan kewangan dalam talian diperkasakan.

“Harapan rakyat mudah (antaranya) akaun dibekukan segera, duit tidak sempat lesap dan kalau boleh dipulangkan. Ini fokus utama kita sebab itu PDRM tampil ke depan dan ambil tanggungjawab penuh dengan kerjasama semua pihak,” katanya.

NSRC ditubuhkan pada 14 Oktober 2022 sebagai pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian merangkumi pengesanan dana yang dicuri secara lebih cepat dan pengambilan tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619