SHAH ALAM, 16 JULAI: Usahawan tani dipelawa menyertai program pencarian Ikon Agro Selangor yang dibuka mulai 1 hingga 20 Julai ini.
EXCO pertanian berkata program yang dianjurkan sejak 2020 mempertandingkan kategori pertanian, penternakan, akuakultur, industri asas tani dan agropelancongan.
Jelas Dato’ Ir Izham Hashim, program Ikon Agro Selangor 2025 akan digabungkan dengan Ikon Agro Selangor 2024 dan peserta yang telah menghantar permohonan pada tahun lalu tidak perlu berbuat demikian lagi.
“Calon yang menepati kriteria akan dipilih menjadi Ikon Agro Selangor 2024/2025 dan memenangi hadiah wang tunai serta bantuan input pertanian bernilai RM10,000 seorang,” katanya di Facebook.
Mereka yang berminat boleh mengisi borang di pautan https://agroselangor.com/web/forms-ikon2025.php.
Setiap Ikon Agro Selangor berperanan sebagai duta kecil sektor agro serta membimbing usahawan tani baharu selain dipantau dan diaudit oleh Jawatankuasa Pertanian Negeri Selangor selama dua tahun.
Berikut syarat penyertaan program Ikon Agro Selangor:
- Peserta mestilah berumur sekurang-kurangnya 1 tahun dan ke atas
- Mengusahakan projek agro di Negeri Selangor
- Projek yang sedang diusahakan mempunyai status yang sah
- Mempunyai SSM atas nama sendiri (Ent, PLT, Sdn Bhd)
- Mempunyai rekod penyata kewangan sekurang-kurangnya 12 bulan
- Bagi Persatuan/Koperasi, ia hendaklah menghantar profail lengkap dan aktif dengan perniagaan