ad
AGENDA

Pacu ekonomi digital, Selangor sasar 100,000 peniaga sertai PLATS menjelang 2026

15 Jul 2025, 11:03 AM
Pacu ekonomi digital, Selangor sasar 100,000 peniaga sertai PLATS menjelang 2026
Pacu ekonomi digital, Selangor sasar 100,000 peniaga sertai PLATS menjelang 2026
Pacu ekonomi digital, Selangor sasar 100,000 peniaga sertai PLATS menjelang 2026
Pacu ekonomi digital, Selangor sasar 100,000 peniaga sertai PLATS menjelang 2026

SHAH ALAM, 15 JULAI: Seramai 100,000 peniaga disasar menyertai program digitalisasi Platform Selangor (PLATS) menjelang tahun depan, sekali gus meningkatkan pendapatan golongan tersebut.

Dato' Menteri Besar berkata PLATS yang sebelum ini menumpukan kedai makan, restoran, penjaja dan pasar malam, akan diperluas kepada peniaga barangan basah dan kering di pasar awam.

"Jumlah yang sertai PLATS kini mencecah 88,000 dan kini kita hanya perlu menambah keistimewaan sedia ada supaya lebih ramai peniaga dapat transformasi perniagaan kepada digitalisasi.

"Golongan peniaga yang boleh didekati antaranya di Pasar Moden Seksyen 6 Shah Alam dengan mendigitalisasikan perniagaan basah dan kering. Selepas itu kita boleh kembangkan ke lebih banyak pasar di semua PBT.

"Menerusi PLATS, peniaga bukan hanya dibantu dalam aspek kewangan sahaja tetapi kita berikan baucar supaya pendapatan meningkat," katanya ditemui pemberita pada majlis jalinan sinergi dan apresiasi rakan strategik PLATS 2025 di foyer Bangunan SUK hari ini.

Terdahulu, enam agensi diplih dalam jalinan sinergi bersama PLATS iaitu Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Mynic Berhad, Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC), SIRIM Berhad dan Red Giant Creative House Sdn Bhd.

[caption id="attachment_710543" align="aligncenter" width="700"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan plak kepada Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree sempena Majlis Jalinan Sinergi dan Apresiasi Rakan Strategik Platform Selangor di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam pada 15 Julai 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sementara itu, EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata pihaknya bercadang melibatkan usahawan bidang ekonomi kreatif dalam PLATS pada masa depan.

"Dari semasa ke semasa, kita buat semakan program dilaksana daripada pelbagai sudut dan kali ini kita jalankan kerjasama holistik dengan agensi luar sama ada peringkat negeri mahupun persekutuan.

"Kita akan teroka potensi lain dengan kembangkan kerjasama melibatkan industri ekonomi kreatif bagi memperluas jaringan termasuk penggiat seni, sastera, animasi dan fotografi," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif MSSB Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata sebagai media rasmi negeri, pihaknya akan mempergiatkan promosi untuk mengajak lebih ramai peniaga menyertai PLATS.

"MSSB akan mendekati peniaga-peniaga. Kita akan gunakan semua platform media untuk menyebarkan kelebihan atau manfaat berdaftar dengan PLATS.

"Malah kita perlu bantu peniaga supaya jaringan perniagaan dapat berkembang dan produk lebih dikenali. Kita bercadang untuk paparkan produk peniaga-peniaga PLATS di semua platform MSSB," ujarnya.

Mula diperkenal pada Ramadan 2020, PLATS bertujuan melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor dan setahun kemudian, PLATS 2.0 dilancar bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa.

Platform maya siri 3.0 itu diteruskan pada April 2022 melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Rakan Digital Selangor (RDS).

[caption id="attachment_710544" align="aligncenter" width="700"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan plak dan sijil penghargaan rakan strategik kepada Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon sempena Majlis Jalinan Sinergi Dan Apresiasi Rakan Strategik Platform Selangor di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam pada 15 Julai 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

[caption id="attachment_710539" align="aligncenter" width="700"] Pempamer Selangor Technical Skilss Development Centre (STDC) menunjukkan aplikasi Plats sempena Majlis Jalinan Sinergi Dan Apresiasi Rakan Strategik Platform Selangor di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam pada 15 Julai 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.