SHAH ALAM, 15 JULAI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca kering dan kurang hujan akan berlaku di kebanyakan kawasan di seluruh negara bermula 18 hingga 23 Julai ini.
Menurut MetMalaysia, keadaan ini berpunca daripada pembentukan ribut tropika di barat Lautan Pasifik, berhampiran Filipina.
Dalam tempoh tersebut, suhu maksimum harian di sesetengah kawasan dijangka boleh mencecah sehingga 36°C.
Sehubungan itu, orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini dan sahih melalui laman web rasmi www.met.gov.my, saluran media sosial MetMalaysia atau aplikasi myCuaca.
Pada 27 Jun, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata bekalan air mentah di Selangor adalah mencukupi untuk menghadapi cuaca panas, dengan empangan utama mempunyai simpanan air antara tiga hingga enam bulan.
Tujuh empangan utama — Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi (Hulu Selangor), Empangan Tasik Subang (Petaling), Empangan Sungai Langat dan Empangan Semenyih (Hulu Langat), Empangan Klang Gates dan Empangan Batu (Gombak) — semuanya berada pada paras lebih 95 peratus dan beroperasi dengan baik.
Beliau berkata paras air empangan dijangka kekal stabil dalam beberapa bulan walaupun semasa Monsun Barat Daya. Paras air dijangka meningkat semula semasa peralihan monsun pada Oktober dan Monsun Timur Laut dari November hingga Mac, apabila hujan lebat dijangka turun di kawasan tadahan.
Izham turut memaklumkan bahawa sebanyak 100 kolam, termasuk bekas lombong dan lembangan sungai di Selangor akan digunakan bagi membantu negeri menghadapi musim kering.