AGENDA

Lebih 700 rakyat Palestin terbunuh ketika dapatkan air di Gaza

15 Jul 2025, 4:02 AM
Lebih 700 rakyat Palestin terbunuh ketika dapatkan air di Gaza

GAZA CITY / ISTANBUL, 15 Julai: Sejak Oktober 2023, lebih 700 rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak dilaporkan terbunuh ketika cuba mendapatkan air, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan yang dipetik Anadolu Ajansi pada Isnin.

“Israel terus melancarkan perang sistematik dan disengajakan melalui taktik kehausan terhadap rakyat Palestin di Gaza, satu pencabulan nyata terhadap semua konvensyen antarabangsa dan prinsip kemanusiaan,” menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza.

Pihak berkuasa Palestin menuduh tentera Israel menggunakan air sebagai senjata perang dengan tujuan menafikan hak asasi paling asas rakyat Palestin.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa tentera Israel melakukan 112 pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza ketika mereka cuba mendapatkan air, dengan lebih 700 orang terbunuh, majoritinya kanak-kanak.

Insiden terbaharu berlaku pada Ahad lalu, apabila sekurang-kurangnya 12 penduduk Palestin, termasuk lapan kanak-kanak terbunuh ketika beratur mendapatkan air di Kem Pelarian Nuseirat, Gaza Tengah.

Pejabat media turut mendedahkan bahawa lebih 720 telaga air di Gaza dimusnahkan secara sengaja oleh tentera Israel, menyebabkan lebih 1.25 juta penduduk hilang akses kepada air bersih.

Selain itu, tentera Israel juga didakwa menghalang kemasukan 12 juta liter bahan api setiap bulan – jumlah minimum yang diperlukan untuk mengoperasikan telaga air, stesen kumbahan, sistem pelupusan sisa dan sektor penting lain.

“Tindakan ini melumpuhkan sepenuhnya sistem bekalan air dan kumbahan, sekali gus menyebabkan penularan wabak penyakit, khususnya dalam kalangan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihak berkuasa Gaza menggesa masyarakat antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia bertindak segera bagi menghentikan penggunaan air sebagai senjata perang oleh Israel, serta membenarkan kemasukan bahan api dan peralatan yang diperlukan untuk membaik pulih telaga dan sistem saliran.

Sejak 2 Mac lalu, Israel terus menutup semua laluan keluar masuk ke Gaza termasuk bagi bantuan makanan, perubatan dan kemanusiaan – tindakan yang memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan menjejaskan kira-kira 2.4 juta penduduk wilayah itu.

Sekatan berterusan mengakibatkan Gaza di ambang kebuluran, dengan semakin banyak kematian dilaporkan akibat kelaparan.

Tentera Israel terus melancarkan serangan kejam di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023, dengan jumlah korban kini melebihi 58,000 rakyat Palestin – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619