AGENDA

KPM bincang hadkan jumlah guru sertai aktiviti luar sekolah

14 Jul 2025, 8:57 AM
KPM bincang hadkan jumlah guru sertai aktiviti luar sekolah

JASIN, 14 JULAI: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan perbincangan bagi mengehadkan jumlah guru untuk menyertai aktiviti luar sekolah, kata Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad.

Beliau berkata langkah itu diambil dalam usaha mengurangkan beban tugas pendidik yang sering dilibatkan dalam tugasan luar sekolah.

“Sebenarnya, satu hari berapa orang cikgu boleh pergi, tak ada (tiada di sekolah) untuk (menyertai) aktiviti-aktiviti ini pun kita akan berbincang,” kata selepas merasmikan Program Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025 di Politeknik Merlimau di sini hari ini.

Khamis lepas, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kementerian itu menggariskan tujuh langkah bagi mengurangkan beban tugas guru termasuk memansuhkan acara tidak berimpak tinggi dan melantik orang awam sebagai pengawas peperiksaan.

Beliau berkata isu yang berpanjangan itu sememangnya menjadi fokus beliau sejak memulakan perkhidmatan di KPM dan memerlukan penyelesaian yang menyeluruh.

Mohd Azam berkata guru besar dan pengetua juga diminta untuk menyusun strategi dalam menyelaraskan aktiviti-aktiviti yang membabitkan guru agar lebih terkawal dan tidak menambah tanggungjawab sedia ada mereka.

“Saya fokuskan murid dan pelajar kita datang sekolah, mesti dapat hak mereka untuk belajar dan guru-guru tidak payah pening-pening kepala (untuk program bukan berimpak tinggi).

“Perkara lain yang tidak profesional dan tiada kaitan dengan aktiviti pembelajaran dan murid (boleh) tinggalkan,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619