SHAH ALAM, 14 JULAI: Tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat dan teliti tidak mematahkan semangat pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) mendaftar bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan operasi lancar mengikut peraturan.
Pemilik Taska An Naurah Childcare Centre, Najwa Khalid, 41, berkata syarat pendaftaran itu memberi kebaikan kepada semua termasuk ibu bapa kerana perkhidmatan tersebut membabitkan isu keselamatan kanak-kanak.
[caption id="attachment_710317" align="alignleft" width="308"] Pemilik Taska An Naurah Childcare Centre, Najwa Khalid[/caption]
"Banyak dokumen kena sediakan tetapi kalau kita bersungguh-sungguh boleh diselesaikan lebih cepat. Saya ambil masa lebih kurang dua bulan juga untuk selesaikan. Cuma kita kena tunggu bomba datang. Masa itu saya dah siap ambil Kursus Asuhan Permata.
"Saya mendaftar supaya mengikut peraturan kerajaan, anak-anak juga selamat kerana mengikuti SOP ditetapkan dan ada sistem pembelajaran Permata.
"Bahagian mencabar nak dapat kelulusan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kerana perlukan persetujuan jiran-jiran sebab ini membabitkan isu keselesaan mereka juga," katanya yang mempunyai 20 anak asuhan.
Dibantu enam pengasuh, Najwa yang menguruskan taska sejak 2013 berkata, kesukaran memenuhi kriteria ditetapkan JKM tidak seharusnya dijadikan alasan sebaliknya ia perlu diurus dengan sabar sehingga diluluskan.
Bagi pengusaha Taska Didik Cemerlang, kewujudan taska tidak berdaftar sedikit sebanyak memberi saingan tidak sihat dalam sektor terbabit.
[caption id="attachment_710319" align="alignright" width="307"] Pengusaha Taska Didik Cemerlang, Rahmah Safari[/caption]
Walaupun mendapat keuntungan lebih banyak, Rahmah Safari, 49, berkata pulangan hasil tersebut tidak berbaloi jika keselamatan anak-anak jadi taruhan.
"Mereka boleh beri harga rendah sebab tidak keluarkan kos seperti kami yang berdaftar tetapi tiada jaminan keselamatan dan keselesaan anak-anak.
"Saya nasihatkan supaya pengusaha taska di luar sana supaya menjalankan perniagaan secara sah, berdaftar dengan JKM supaya lebih terurus dan selamat. Sekarang dah banyak kemudahan dan kerajaan juga sedia bantu. Rugi tak ambil peluang," katanya yang berniaga sejak 2013.
Selain taska, beliau turut mengusahakan sekolah tadika dan pusat transit membabitkan 403 murid dan anak asuhan dibantu 37 kakitangan terlatih di Jalan Kebun, Shah Alam.
[caption id="attachment_699750" align="alignnone" width="874"] Kanak-kanak di Taska Didik Cemerlang Pusat Perniagaan D’Kebun, Klang pada 5 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Aini Kadir, 39, yang mengusahakan Taska Fantasi Bidara berkata beliau berdepan cabaran mendapat kelulusan MPS bagi ubah syarat guna bangunan daripada kediaman kepada komersial.
Bagaimanapun, beliau bersyukur proses pendaftaran taska yang diusahakannya di Taman Selayang Utama sejak 2015 selesai dalam tempoh kurang setahun.
"Kalau lot kedai saya rasa lebih mudah sebab memang dalam lot perniagaan tetapi kalau di rumah agak leceh sedikit sebab ada syarat tukar guna bangunan dari rumah ke komersial.
"Bila lima tahun kena perbaharui dan mula semula proses daripada mula. Kena pergi balik MPS, Jabatan Kesihatan dan bomba. Kalau ada kelonggaran sedikit bagi yang dah mendaftar lagi bagus," katanya yang dibantu enam kakitangan.
Beliau yang menjaga 18 anak asuhan menjelaskan pemeriksaan mengejut agensi bertanggungjawab turut mendorong pengusaha mengekalkan piawaian ditetapkan.