AGENDA

Pasangan dinasihat rujuk pihak berautoriti sebelum sertai program motivasi

13 Jul 2025, 8:11 AM
Pasangan dinasihat rujuk pihak berautoriti sebelum sertai program motivasi

SHAH ALAM, 13 JULAI: Pasangan suami isteri yang berdepan masalah rumah tangga dinasihat merujuk pihak berautoriti sebelum menyertai sebarang program motivasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata peserta boleh mengemukakan aduan rasmi, sekiranya pendekatan atau modul digunakan penganjur disyaki mengandungi unsur meragukan atau menyeleweng, lapor Harian Metro.

“Saya faham ramai pasangan mahu cari jalan ketenangan bila rumah tangga ada masalah tetapi mereka mungkin menemui kumpulan yang salah dan akhirnya menaruh harapan kepada pihak yang tidak sah.

"Namun dalam proses mencari itu, (mungkin) bertemu kumpulan, seolah-olah meletakkan harapan untuk menyelesaikan masalah dihadapi mereka,” Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata tiada masalah untuk mendapatkan bantuan, namun penting untuk memastikan program itu dikendalikan oleh pihak yang diiktiraf dan bertauliah.

Terdahulu, tular di media sosial program motivasi eHati yang diadakan khas untuk peserta wanita di IDCC, yang didakwa melibatkan perlakuan tidak senonoh, dipercayai berlaku pada September tahun lalu.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melakukan siasatan berhubung penganjuran program berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im turut mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee bekerjasama dengan Jais dalam menyelesaikan isu tersebut.

"Saya juga dimaklumkan Jais sudah menerima aduan rasmi dan siasatan sudah dimulakan, selain pasangan terbabit akan dipanggil memberi keterangan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jais," katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar membuat aduan rasmi sekiranya mendapati terdapat program yang mencurigakan atau tidak selari dengan ajaran Islam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619