AGENDA

Bangkai helikopter polis terlibat nahas dinaik esok atau lusa

13 Jul 2025, 7:39 AM
Bangkai helikopter polis terlibat nahas dinaik esok atau lusa

JOHOR BAHRU, 13 JULAI: Bangkai helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam kemalangan di Sungai Pulai, Gelang Patah pada Khamis lepas, dijangka akan dinaikkan dalam masa terdekat, sama ada esok atau lusa.

Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Noor Sham Md Jani berkata pihaknya akan dibantu oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menjalankan kerja-kerja berkenaan.

“Insya-Allah, dengan bantuan daripada agensi-agensi luar, proses menaikkan atau mengangkat bangkai helikopter ini akan berjalan lebih cepat, sekali gus membolehkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) menjalankan siasatan yang lebih mendalam mengenai insiden tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini.

Beliau berkata alat rakaman perhubungan komunikasi juga dipercayai masih berada di dalam bangkai helikopter berkenaan.

"Ia dipercayai masih lagi dalam helikopter, sebenarnya ia adalah perhubungan komunikasi antara helikopter dengan bahagian (petugas udara) di bawah. Kotak hitam tiada, kerana ia alat perhubungan komunikasi helikopter," jelas beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital II HSA Dr C.Mitesh berkata kesemua lima mangsa nahas termasuk dua yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata Konstabel R. G. Devendran masih ditidurkan dan memerlukan bantuan pernafasan, sementara Koperal Adeline Liu Yan Siu yang tidak memerlukan bantuan pernafasan pula berada dalam keadaan stabil di ICU.

“Tiga mangsa yang stabil di wad biasa juga masih dalam pemantauan, termasuk oleh pakar ortopedik kerana ada yang cedera dan memerlukan rawatan lanjut. Secara keseluruhan, kelima-lima mangsa berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Dalam kejadian pada 10.15 pagi Khamis, sebuah helikopter jenis AS355N milik PDRM terlibat dalam kemalangan ketika menjalani Multilateral Nuclear Security Detection Exercise(MITSATOM) 2025 yang melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di Jeti Maritim Gelang Patah.

Selain Devendran dan Adeline, turut terlibat ialah juruterbang helikopter ACP Faizul Mohammad, pembantu juruterbang Supt Ahmad Bustamin Baharom dan anggota Balai Polis Tanjung Kupang Sarjan Siti Latipa Khairuddin.

Kesemua kru helikopter berjaya diselamatkan pasukan Polis Marin.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619