SHAH ALAM, 13 JULAI: Seorang isteri sanggup berjalan kaki sejauh lebih dua kilometer untuk bertemu suaminya yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Persiaran Raja Muda Musa awal pagi tadi.
Wanita berusia lingkungan 20-an yang tidak mempunyai kenderaan lain itu dilaporkan bergegas dari rumahnya di Pandamaran, Klang sebaik menerima panggilan daripada suaminya, lapor Sinar Harian.
Beliau memaklumkan sudah beberapa kali menasihati suaminya agar tidak terlibat dalam kegiatan samseng jalanan, namun tegurannya tidak diendahkan.
Laporan menyebut suasana di lokasi bertukar ‘meriah’ apabila kumpulan penunggang motosikal mula berkumpul dan menunjukkan aksi berbahaya sekitar jam 2.30 pagi.
Lebih 100 pegawai dan anggota keselamatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor terbabit dalam operasi bersepadu itu.
Tindakan pantas menutup dua persimpangan utama dan beberapa lorong tikus berjaya menyekat cubaan pelumba haram meloloskan diri, namun terdapat penunggang menunggang melawan arus dan secara melulu demi mengelak daripada ditahan.
Difahamkan, Persiaran Raja Muda Musa menjadi antara lokasi tumpuan kegiatan lumba haram melibatkan anak muda dari dalam dan luar daerah Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata sebanyak 128 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi dijalankan.
“Sebanyak 23 kes membabitkan cukai jalan tamat tempoh, dua kes penunggang bawah umur, 33 kes tiada nombor pendaftaran, lapan kes ubah suai ekzos, dan empat kes ubah suai struktur motosikal,” katanya.
Turut direkodkan, 13 kes tiada cermin sisi, sembilan kes tiada lesen memandu, dua kes brek tidak berfungsi, dan satu kesalahan pemakaian topi keledar selain 33 motosikal disita atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Tujuh individu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala seorang lagi disiasat di bawah Seksyen 108(3) bagi akta sama.