AGENDA

Bayi tanpa pakaian, lapik ditemukan atas tanah berbatu di bahu jalan

13 Jul 2025, 3:24 AM
Bayi tanpa pakaian, lapik ditemukan atas tanah berbatu di bahu jalan

SUNGAI PETANI, 13 JULAI: Seorang bayi lelaki yang dipercayai baharu dilahirkan ditemukan tanpa pakaian dan tidak berlapik di atas tanah berbatu di bahu jalan di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau dekat sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.55 pagi.

“Tangisan kuat bayi berkenaan didengari seorang penduduk yang sedang menjemur pakaian sebelum dia bertindak mencari di kawasan sekitar.

“Saksi terkejut lalu menjerit apabila melihat seorang bayi lelaki di bahu jalan. Tidak lama kemudian, beberapa jiran keluar rumah dan membantu membawa bayi itu ke kawasan lebih selamat sebelum menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati lokasi penemuan bayi tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Hanyan berkata bayi berkenaan telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati bayi berada dalam keadaan sihat namun mengalami kecederaan calar pada bahagian mata kanan dan sebelah kanan badan,” katanya.

Beliau berkata polis kini sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bagi membantu siasatan, manakala seorang lagi remaja perempuan berusia 19 tahun kini berada di wad hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619