Jika tidak kerana Hassan, memang aku takkan keluar. Tempurungku selama ini selamat tanpa sebarang bahaya. Segalanya ada walau sekangkang luasnya. Makanan dihantar terus ke pintu, air keluar dari tanah dan segala berita tentang dunia sampai kepadaku. Kadang, kudengar ciapan burung yang singgah di hadapan tempurung. Mereka bercerita tentang perang dunia yang kian memuncak. Ada masa, ulat keluar dari tanah dek tersesat. Akan diceritakannya pula tentang inflasi yang kian meningkat dan kos sara hidup yang kian memuncak.
Semua itu kudapatkan tanpa menjejakkan kaki ke luar.
Tapi kerana pancingan Hassan tentang keindahan dunia luar, nafsuku jadi bergelora. Hassan datang setiap minggu ke tempurungku untuk berbual. Dia tak lupa bercerita tentang perubahan tempat tinggal kami. Minggu lepas, dia bercerita tentang sebuah tasik yang baru sahaja dibuka oleh kerajaan dunia. Keindahan kawasannya yang dikelilingi pokok bunga pancawarna. Hawa tasik yang memikat, udara yang segar dan makanan berterbangan. Seakan sebuah syurga dunia yang kami impikan.
“Tasik itu tidak jauh letaknya dari sini. Hanya perlu beberapa minit melompat. Kalau kau lelah kerana lama tak bergerak, kita boleh berehat setengah jalan. Tapi aku jamin, semua lelah kau akan hilang sebaik sahaja kau sampai sana,” cerita Hassan bersungguh-sungguh.
Lagipun cerita Hassan lagi, semua katak di kawasan ini telah ke sana untuk bergembira. Tinggal aku sahaja yang duduk terperap di tempurung.
Sejak itu, bayangan tasik menjengah mimpiku saban malam. Dan malam semalam, mimpi sama datang mengetuk lenaku.
Bayang kesejukan tasik bermain di tubir mata. Kesegaran tasik dan harum bunga berlanta-lanti di bucu hidung. Dengan makanan yang berterbangan, kawan-kawan berenang, melompat dan menyambar makanan. Syurga dunia yang kuinginkan.
Zaman muda menari-nari dalam gelembung mimpi. Rindu membuak kepada tasik tempat kami membesar. Ketika masih memiliki insang dan sirip kecil yang menjadikan segalanya mungkin. Tanpa tanggungjawab bertenggek di bahu. Hanya kegembiraan, hanya kenyamanan.
Zaman yang indah tanpa dibayangi imej perang.
Aku terjaga, dibasahi keringat dan air liur menitis dari pinggir bibir. Kulitku kering lama tak dibasahi air. Hawa panas dalam tempurung kembali mengingatkanku kepada tasik. Tasik yang kuputuskan terus hubungannya beberapa tahun lepas. Bukan sahaja tasik, malah sungai, lopak, telaga, parit dan apa-apa yang membasahkan.
Tipulah jika aku tidak pernah menginginkannya. Saban waktu, pada mendung yang memayungi langit, akulah katak yang paling rindukan basah hujan. Ditambah pula dengan nyanyian kawan-kawan yang bergema sehingga ke tempurung, buatkan hatiku gelisah.
Ada juga Hassan mengajakku menyanyi bersama.
Tapi aku memang tak gemar lihat Hassan dan kawan-kawannya bernyanyi. Mereka bukan menyanyi sahaja. Pasti ada perkara lain. Jika tidak betina, pasti akan ada botol-botol arak bergelimpangan di samping.
Biarlah aku duduk seorang tanpa mencium udara luar. Biar aku selamat daripada segala anasir berbahaya. Aku tak mahu hanyut pada keasyikan dunia sehingga lupa kemelaratan yang sedang melanda. Biarlah kupelihara imanku ini walau terpaksa terkurung di tempurung selamanya. Sampai masa, aku akan pulang menghadap-Nya, memberitahu bahawa akulah hamba-Nya yang patuh dan setia.
Semua ini pun kerana kata-kata Pak Ustaz. Jika tidak, pasti aku masih bersama Hassan dan lain-lain. Pasti juga aku masih bergelumang dengan segala lumpur lopak dan lumut tasik.
Pesannya, tasik dan hiburan itu melalaikan, mengkhayalkan, membuat ketagih. Sekali sahaja kami menyelam, pasti kali kedua akan datang. Seterusnya kali ketiga, keempat, kelima. Amfibia seperti kami tidak boleh terlalu lama berendam dalam hiburan. Kesedaran hanya hadir mengetuk selepas kami hilang nafas.
Lagipun di dunia sekarang, ada sahaja agenda-agenda tersembunyi yang ingin menghanyutkan rakyat. Agenda yang membuatkan semua lupa segala perkara penting seperti perjuangan menegakkan keadilan, penentangan melawan penindasan sosial, penindasan kaum minoriti dan sebagainya.
Jadi, kuputuskan untuk menurut kata ustaz dan memotong terus hubungan dengan apa-apa yang mengasyikkan. Biar aku selamat dari tipu daya dunia dan kelak di alam sana.
Cuma sekarang, dek nafsu yang membuak dan hasutan Hassan, telah juga aku keluar dari zona selamat. Apalagi dia telah berjanji yang kami hanya melawat tempat itu sekali sahaja demi meredakan kegersanganku.
“Lepas ini, aku takkan ajak kau ke sana lagi,” pujuknya pada pagi sama kami ke tasik.
Mataku jadi kelabu sudah untuk melihat hitam putih dek janji-janji Hassan. Hati yang selama ini kutambat pada jalan terang, telah dikapak rantainya. Diheret juga tubuh ini ke lembah keinginan.
Bersama-sama Hassan, aku melompat tanpa menoleh ke belakang. Tempurung itu kutinggalkan tanpa ucap selamat tinggal.
Benarlah kata Hassan, tasik itu jauhnya beberapa minit melompat sahaja. Di celah-celah rumput kami berjalan. Oleh lelah yang menghambat, kami rehat sebentar di tengah jalan. Hassan tersenyum mengejek melihatku mengah. Aku persetankan.
Dan sekali lagi benarlah juga jaminannya, kerana sebaik sahaja kami sampai, melayanglah lelahku dibawa angin. Tubuh ini kembali dipenuhi kekuatan demi melihatkan kecantikan tasik tidak terperi itu. Air melambai kepadaku. Panggilan hiburan kian bingit. Dari pesisirnya, sudah berpuput udara sejuk menyapa kulit yang selama ini tidak menjamah basah.
Tanpa berlengah, terus saja aku melompat laju meninggalkan Hassan. Berdebur dada tasik menerima terjunanku. Dewi kesejukan memeluk lembut. Mimpi menjadi nyata. Kenikmatan inilah yang kudambakan sekian lama. Segala yang kunafikan selama ini, ternyata nikmat paling indah. Sama nikmatnya berbuka puasa.
Aku menyelam lagi ke dasar yang tiada jalan keluar. Permukaan tidak lagi kukenal. Segalanya tasik, segalanya air, segalanya nikmat, segalanya syurga. Ketagihan mula menjerut leher. Dalam dakapan syurga dunia ini, aku ingin tenggelam selamanya.
Di permukaan, kawan-kawanku termasuk Hassan sedang mendongak ke langit. Melihat misil terbang membelah awan menuju penempatan saudara-saudara jauh di negeri sana.
Sedang di dasar, telingaku pekak untuk mendengar segala apa yang melanda dunia.