ad
AGENDA

Waspada akaun TikTok palsu Saifuddin Nasution tawar bantuan kewangan

12 Jul 2025, 4:15 AM
Waspada akaun TikTok palsu Saifuddin Nasution tawar bantuan kewangan

PUTRAJAYA, 12 JULAI: Orang ramai diminta berwaspada terhadap kewujudan akaun palsu di TikTok yang menyalahgunakan nama dan gambar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk tujuan penipuan.

Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan akaun tersebut mendakwa kononnya Saifuddin ingin menyalurkan bantuan kewangan menerusi pautan WhatsApp yang diletakkan di ruangan bio.

“Sebenarnya, ini adalah satu penipuan yang bertujuan memperdaya orang ramai untuk membuat bayaran pendahuluan,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Menteri berkenaan telah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak TikTok berhubung perkara itu.

Setakat ini, tiga akaun palsu telah disekat oleh TikTok iaitu Saifuddin_Nasution0, Saifuddin_Nasution1 dan Saifuddin_Nasution12.

Pejabat itu turut memaklumkan tidak menolak kemungkinan lebih banyak akaun palsu akan diwujudkan, dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati serta menyemak kesahihan maklumat sebelum bertindak.

Menurut kenyataan itu, Saifuddin tidak pernah dan tidak akan meminta sebarang bayaran bagi tujuan bantuan, dan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terlibat.

Pejabat Menteri Dalam Negeri turut menjelaskan bahawa akaun TikTok rasmi milik Saifuddin menggunakan nama penuh beliau, iaitu SAIFUDDIN_NASUTION, dan boleh diakses melalui pautan https://www.tiktok.com/@saifuddin_nasution?_t=ZS-8xxBQQ1Org2&_r=1.

“Orang ramai digesa merujuk saluran rasmi Pejabat Menteri Dalam Negeri untuk maklumat sahih dan terkini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.