SHAH ALAM, 12 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) diarah melakukan siasatan berhubung penganjuran program motivasi eHati melibatkan perlakuan tidak senonoh oleh kumpulan peserta wanita.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Selangor memandang serius perkara tersebut selain menafikan penglibatan negeri dalam penganjuran acara berkenaan.
“Saya minta Jais siasat dan ambil tindakan tegas kerana ia dianjur secara tertutup, dan tidak melibatkan negeri.
“Saya amat prihatin dengan apa yang didedahkan dan kita perlu lakukan siasatan. Semoga siasatan dibuat menyeluruh dan ambil tindakan tegas kepada yang melanggar peraturan,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan perasmian Festival Turath Islami Selangor 3.0 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk memanggil pihak pengurusan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) berhubung penganjuran program itu di lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, siasatan menyeluruh perlu dibuat terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan dakwaan yang dibuat individu menerusi media sosial.
“Kita tengok keadaan dulu (panggil pihak IDCC). Biar pihak polis siasat. Sekarang ini yang ada hanya dakwaan dari seorang peserta. Yang penting dakwaan itu perlu disiasat,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial program motivasi yang diadakan khas untuk peserta wanita di IDCC, yang didakwa melibatkan perlakuan tidak senonoh, dipercayai berlaku pada September tahun lalu.
Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil dalam kenyataannya memohon pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan terhadap program berkenaan yang didakwa mengandungi unsur penyelewengan agama dan moral.