AGENDA

UK puji Malaysia penyelaras serantau unggul, suara utama Selatan Global

11 Jul 2025, 12:30 PM
UK puji Malaysia penyelaras serantau unggul, suara utama Selatan Global

KUALA LUMPUR, 11 JUL: United Kingdom (UK) memuji Malaysia sebagai penyelaras serantau yang berpengaruh serta suara penting di Selatan Global, sambil mengesahkan komitmennya untuk memperkukuh hubungan dengan Malaysia dan ASEAN.

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Ajay Sharma berkata UK melihat Malaysia sebagai rakan penting di Asia Tenggara, khususnya dalam peranannya sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan suara yang lantang dalam isu-isu melibatkan negara-negara Selatan Global.

Sehubungan itu, UK dan Malaysia kini memberi tumpuan kepada memodenkan hubungan dua hala yang terjalin sejak sekian lama agar selari dengan keutamaan global masa kini dan aspirasi rakyat kedua-dua negara, katanya.

“Hubungan kita adalah mendalam dan bersejarah, tetapi kita sentiasa mencari jalan untuk memodenkannya.

“Fokus kita adalah terhadap bidang-bidang yang dapat memenuhi matlamat bersama — pertumbuhan, keselamatan dan membina hubungan yang saling menghormati serta membawa manfaat Bersama untuk abad ke-21,” katanya kepada Bernama di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini.

“Kami mahu bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kami di Malaysia bagi mencapai hasil nyata untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Sharma berkata Setiausaha Luar UK David Lammy mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pertemuan pada Khamis.

Kedua-dua pihak turut mengesahkan semula komitmen terhadap Perkongsian Strategik UK-Malaysia yang diumumkan semasa pertemuan dua hala kedua-dua pemimpin negara pada Januari lalu, menurut beliau.

Sharma berkata perbincangan pada masa hadapan akan memberi keutamaan kepada kerjasama dalam bidang digital dan teknologi, kesihatan, pendidikan, pertahanan dan iklim, dengan penyertaan aktif sektor awam dan swasta.

Setibanya di AMM ke-58, Lammy turut menyifatkan ASEAN sebagai satu “perhimpunan yang luar biasa”, sambil menzahirkan keterujaan UK memperkukuh hubungan dengan rantau ini.

“Amat gembira dapat berada di sini. Ia satu perhimpunan yang mengagumkan, benar-benar hebat,” katanya secara ringkas kepada wartawan sebelum menghadiri pertemuan dua hala dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan pagi Jumaat.

Lammy turut menghadiri Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN (PMC), yang memberikan peluang kepada UK dan negara-negara anggota ASEAN untuk menilai kemajuan kerjasama sejak UK menjadi Rakan Dialog Rasmi pada 2021.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619