ad
ADN

Panel khas gesa kajian menyeluruh pengangkutan awam Selangor

10 Jul 2025, 2:25 PM
Panel khas gesa kajian menyeluruh pengangkutan awam Selangor
Panel khas gesa kajian menyeluruh pengangkutan awam Selangor

OLEH YASMIN RAMLAN

SHAH ALAM, 10 JULAI: Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur dan Mobiliti (Infragro) menggesa kajian semula menyeluruh terhadap ekosistem pengangkutan awam Selangor berikutan penggunaan yang rendah, liputan luar bandar terhad dan sambungan perjalanan awal dan akhir yang lemah.

Pengerusinya yang juga Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata penggunaan pengangkutan awam di negeri itu masih rendah dengan hanya kira-kira 10.6 juta pengguna setahun atau purata 29,000 pengguna harian.

Berucap pada sidang Dewan Negeri Selangor, beliau berkata angka itu termasuk bas Smart Selangor dan perkhidmatan transit respons permintaan (DRT), walaupun Selangor mempunyai 7.4 juta penduduk.

“Data ini menunjukkan kebergantungan tinggi kepada kenderaan persendirian dan perlunya strategi lebih berkesan untuk menggalakkan orang ramai beralih kepada pengangkutan awam.

“Sehingga kini, Selangor masih belum mempunyai pelan induk pengangkutan awam,” katanya ketika membentangkan laporan jawatankuasa itu mengikut Peraturan Tetap 76(5).

Beliau berkata inisiatif Mobiliti Selangor yang bermula pada 2015 dengan lebih 500,000 pengguna menunjukkan peningkatan, namun masih belum mencapai tahap penggunaan meluas.

Antara cabaran yang dikenal pasti ialah liputan luar bandar yang tidak mencukupi, sambungan akhir yang lemah, kesesakan waktu puncak dan kekangan dana infrastruktur.

Michelle berkata untuk mencapai sasaran 40 peratus penggunaan pengangkutan awam, Selangor perlu meluaskan laluan, meningkatkan kekerapan perkhidmatan, memendekkan masa perjalanan dan memberi insentif menarik lebih ramai pengguna.

[caption id="attachment_673825" align="aligncenter" width="669"] Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze pada sesi soal jawab mesyuarat ketiga (bajet) penggal kedua Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor pada 18 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Beliau turut menekankan keperluan meningkatkan akses untuk semua golongan termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, perkhidmatan DRT yang menggunakan van dalam radius 10 kilometer dari stesen LRT dilihat sebagai model yang berpotensi tetapi kosnya tinggi.

“Jawatankuasa mendapati usaha Kerajaan Negeri lebih tertumpu kepada penawaran perkhidmatan, tetapi kurang menumpukan usaha untuk mengurangkan kebergantungan rakyat kepada kenderaan persendirian.

“Jawatankuasa percaya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan penting untuk mengurangkan penggunaan kereta dan mencapai sasaran 40 peratus penggunaan pengangkutan awam,” katanya.

Infragro turut mencadangkan supaya penggunaan pengangkutan awam disemak secara berperingkat mengikut jenis pengangkutan bagi mencapai sasaran tersebut.

Michelle berkata, memandangkan PBT turut bertanggungjawab terhadap infrastruktur awam, mereka berperanan penting dalam mewujudkan rangkaian mobiliti yang bersepadu dan mudah diakses.

Jawatankuasa itu juga menggesa Jawatankuasa Mobiliti Negeri yang dipengerusikan EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han supaya bermesyuarat lebih kerap dan bukan hanya dua kali setahun.

Kerajaan Negeri turut disaran menjalankan semakan penuh terhadap ekosistem pengangkutan awam termasuk reka bentuk laluan, kos pengendali dan corak penggunaan orang ramai.

Michelle turut menyeru kerjasama lebih kukuh dengan kerajaan persekutuan bagi menyelaras laluan bas dan menaik taraf sambungan pengangkutan awam pada masa akan datang.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.