SHAH ALAM, 10 JULAI: Pameran Al-Wahyu: Funduq sempena Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2025 dirasmikan hari ini selepas dibuka kepada umum sejak 5 Julai lalu.
Perasmian bertemakan “Funduq: Legasi Kebitaraan Alam Melayu” disempurnakan oleh EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan, Najwan Halimi.
[caption id="attachment_709705" align="aligncenter" width="696"] Orang ramai yang hadir pada Majlis perasmian pameran kesenian Islam Al-Wahyu bertajuk Funduq: Legasi kebitaraan Alam Melayu di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam pada 10 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Pameran itu mengetengahkan sejarah, ciri dan perkembangan sistem pendidikan tradisional pondok dan pesantren yang wujud di Malaysia, Indonesia, selatan Thailand, Singapura dan Brunei.
Turut dipamerkan replika sekolah pondok di Malaysia serta koleksi foto kitab turath tulisan tangan berusia lebih 100 tahun daripada Pondok Pesantren Langitan di Surabaya, Indonesia.
Sejarah hidup dan foto tokoh ulama kelahiran sekolah pondok dan pesantren antaranya Sheikh Abdul Rauf Singkil, Abdurrahman Wahid (Gus Dur), Sheikh Abdul Malek Abdullah (Tok Pulau Manis), Tok Kenali dan Dato’ Dr Haron Din turut dipamerkan.
[caption id="attachment_709706" align="aligncenter" width="701"] Orang ramai yang hadir pada Majlis perasmian pameran kesenian Islam Al-Wahyu bertajuk Funduq: Legasi kebitaraan Alam Melayu di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam pada 10 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Selepas merasmikan pameran itu, Najwan meluangkan masa lebih 15 minit mendengar penerangan daripada kurator, Ts Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria.
Beliau turut menonton video kajian lapangan pasukan penyelidik diketuai Dr Ros Mahwati ke tiga pondok pesantren utama di Surabaya, Indonesia pada 2 hingga 5 Jun lalu.
Pameran dibuka kepada orang ramai dari 9 pagi hingga 9 malam di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor sehingga 20 Julai.