ad
AGENDA

Terperdaya tawaran pelaburan di Facebook, duit RM200,000 lesap

10 Jul 2025, 10:57 AM
Terperdaya tawaran pelaburan di Facebook, duit RM200,000 lesap

KUCHING, 10 JULAI: Seorang pesara syarikat swasta berusia lingkungan 60-an mengalami kerugian sebanyak RM200,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pada Mei lepas, mangsa telah melayari laman media sosial Facebook dan tertarik dengan satu iklan pelaburan saham.

“Kemudian mangsa menekan pautan yang terdapat dalam laman Facebook tersebut dan telah dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi WhatsApp dikenali sebagai ‘A Gathering of Talents F'.

"Dalam kejadian ini, mangsa yang terperdaya telah membuat lima transaksi pembayaran secara berperingkat ke dalam dua akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Farhan berkata mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila suspek terus meminta mangsa untuk membuat bayaran tambahan sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan pelaburan itu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.