ADN

Pewartaan kampung tradisi, TVET antara isu dibangkitkan perkasa komuniti India

10 Jul 2025, 10:00 AM
Pewartaan kampung tradisi, TVET antara isu dibangkitkan perkasa komuniti India

OLEH UFAIRAH TARMIDZI

SHAH ALAM, 10 JULAI: Empat isu telah dibangkitkan bagi memastikan kaum India di Selangor tidak terpinggir menerusi satu perjumpaan bersama bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R. Rajiv berkata perjumpaan tersebut turut melibatkan dua wakil rakyat iaitu ADN Sentosa G. Gunaraj dan ADN Kota Kemuning, S. Preakas.

“Antara isu utama yang dikemukakan kepada Dato’ Seri Amirudin ialah pewartaan kampung tradisi India yang telah lama wujud di Selangor sebagai penempatan rasmi serta pelaksanaan skim perumahan mampu milik yang lebih inklusif.

“Selain itu, kami turut menekankan kepentingan memperluas akses kepada program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi golongan belia India serta memperkasakan lagi kemudahan pinjaman mikro kredit melalui Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama ADN Sentosa, G. Gunaraj dan ADN Kota Kemuning, S.Preakas yang diadakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini.

Beliau turut menegaskan kekurangan penggunaan bahasa Tamil dalam promosi serta penyampaian maklumat berkaitan program dan inisiatif Kerajaan Negeri menjadi halangan dalam kalangan masyarakat India untuk membuat permohonan dan mendapatkan akses sewajarnya.

“Kami berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan penggunaan bahasa Tamil secara lebih meluas, terutamanya dalam program yang disasarkan kepada semua kaum,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Rajiv memaklumkan bahawa Amirudin turut memberikan maklum balas positif terhadap cadangan-cadangan yang dibawa dan bersetuju untuk meneliti secara mendalam demi membuka lebih banyak peluang kepada komuniti tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata permohonan pewartaan kampung tradisi India sebagai kampung rasmi adalah penting bagi memastikan komuniti tersebut mendapat peruntukan pembangunan saksama serta diwakili secara adil dalam struktur tadbir urus tempatan.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619