SHAH ALAM, 10 JULAI: Tragedi letupan paip gas di Putra Heights bukan sekadar menjejaskan ratusan kediaman, malah turut merentap kehidupan lebih 600 keluarga yang terkesan secara langsung.
Namun dalam kepiluan itu, terserlah semangat solidariti apabila pelbagai pihak, tanpa mengira latar, tampil menghulurkan bantuan seawal hari pertama kejadian.
Apa sahaja keperluan asas, baik tempat berteduh, makanan, pakaian mahupun barangan harian segera diusahakan demi memastikan mangsa mendapat keperluan sewajarnya.
Pascaletupan, bantuan lebih tersusun mula dilaksanakan. Diselaraskan pegawai daerah Petaling, pelbagai agensi berganding bahu menyumbang secara menyeluruh.
Inisiatif awal termasuk bantuan tunai RM10,000 kepada pemilik rumah yang musnah sepenuhnya, manakala rumah separa musnah menerima RM5,000 setiap seorang.
Penyewa rdi Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru turut menerima bantuan awal RM5,000. Ketika itu, bomba dan Jabatan Kerja Raya menganggarkan kerugian kediaman mencecah RM65.4 juta.
Dalam tempoh sama, beberapa syarikat swasta turut menawarkan bantuan antaranya Airbnb, yang menyediakan kediaman percuma selain Chery dan Carro yang memberikan pinjaman kenderaan percuma.
[caption id="attachment_709489" align="aligncenter" width="1204"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi soal jawab insiden kebakaran Putra Heights sempena Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang kelima Belas Tahun 2025 di Wisma Dewan Annex, Shah Alam pada 9 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
Kelmarin, Dato’ Menteri Besar berkata jemaah menteri meluluskan pembinaan semula serta baik pulih rumah dengan peruntukan RM40 juta, dan tambahan RM6 juta bagi pembaikan infrastruktur awam.
Semua dana itu merangkumi pembinaan rumah yang strukturnya rosak lebih 40 peratus, melibatkan 81 unit yang dikenal pasti musnah sepenuhnya dengan kos siling RM300,000.
Bagi 138 rumah yang mengalami kerosakan struktur kurang 40 peratus, kos siling RM150,000, manakala 57 unit rumah yang tidak mengalami kerosakan struktur tetapi memerlukan pembaikan berskala kecil ditetapkan RM30,000.
Di samping itu, Kerajaan Negeri juga mengagihkan RM2.73 juta kepada 455 keluarga, masing-masing menerima RM6,000 bagi menampung pembiayaan sewa rumah selama tiga bulan.
Sementara itu, Ahli Majlis Zon 8 Khairil Basri M Arif berkata pihaknya turut menawarkan gerai kepada penduduk yang terjejas bagi membolehkan mereka menjana pendapatan.
Katanya, ada antara mangsa yang bekerja sendiri dan berniaga kecil-kecilan hilang mata pencarian berikutan peralatan musnah akibat kebakaran terbabit.
[caption id="attachment_709631" align="aligncenter" width="1173"] Ahli Majlis MBSJ Zon 8 Khairol Basri M Arif menunjukkan bumbung rumah mangsa kebakaran paip gas yang sudah dibaiki melalui bantuan kerajaan ketika tinjauan di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya pada 1 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Majlis Bandaraya Subang Jaya cuba bantu. Ada gerai kosong, jadi minta mereka mohon. Kita pertimbangkan untuk bantu mereka mempunyai sumber pendapatan.
“Daripada sudut rumah, kita serahkan kepada Kerajaan Negeri menggunakan kaedah mereka. Setakat ini, lebih 90 rumah rosak bawah 40 peratus dan rumah mereka dibaiki secara berfasa.
"Ia memerlukan sedikit masa. Setakat ini juga kira-kira 30 rumah sudah dibaiki,” katanya.
[caption id="attachment_709633" align="aligncenter" width="1195"] Rumah mangsa kebakaran paip gas yang sudah dibaik pulih ketika tinjauan di Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights, Subang Jaya pada 1 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_695796" align="aligncenter" width="1263"] Penerima motosikal Yamaha Avantiz 125c ketika program penyerahan bantuan motosikal secara percuma kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di aras bawah LRT Putra Heights, Subang Jaya pada 8 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_699120" align="aligncenter" width="1230"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan cek cura bantuan sewa rumah kepada mangsa insiden letupan paip gas di Putra Heights dalam satu majlis di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 30 April 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_698790" align="aligncenter" width="1383"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama penyumbung dari Central Spectrum (M) Sdn Bhd dan rakan strategik untuk disalurkan ke Tabung Selangor Prihatin bantuan penduduk Putra Heights akibat tragedi kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Central Spectrum (M) Sdn Bhd di Galeri jualan Central Spectrum, Klang pada 28 April 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]