SUBANG JAYA, 10 JULAI: Kereta cair, rumah musnah, mangsa melecur, bahang panas - itu antara situasi dilalui anggota bomba yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, dekat sini pada 1 April lalu.
Dengan api menjulang setinggi 30 meter dan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, pasukan penyelamat bukan saja terpaksa meredah untuk menyelamatkan mangsa tetapi juga memakai pakaian seragam berat termasuk membawa tangki oksigen memasuki kawasan tragedi.
Malah dengan jarak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian, mereka mengetuk pintu dari satu rumah ke rumah lain untuk menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap.
“Kami ketuk pintu setiap rumah. Lebih kurang 20 rumah. Kami jerit minta mereka keluar. Kami tiada maklumat berapa mangsa masih ada dalam rumah, jadi kami terpaksa berlari, menjerit untuk pastikan tidak ada tertinggal.
“Kejadian waktu pagi, hari raya. Saya pasti ramai duduk rumah, berehat atau tidur kerana cuti. Sebab itu kami usaha ketuk pintu dari rumah ke rumah supaya tak ada tercicir, tak ada jadi mangsa,” kata Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Fadhil Buari, 33, ketika berkongsi pengalaman kepada Media Selangor baru-baru ini.
Beliau yang juga komander operasi dalam kejadian itu berkata, setibanya di lokasi di Jalan Putra Harmoni, keadaan ketika itu huru-hara selain bahang panas serta bunyi desiran gas yang kuat.
[caption id="attachment_709587" align="alignleft" width="500"] Pegawai Bomba Kanan II Mohammad Fadhil Buari menceritakan pengalaman dalam operasi pemadaman kebakaran saluran paip gas di Putra Heights ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya pada 2 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau bersama anggota lain dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya masuk ke zon bahaya meskipun menyedari berdepan risiko tinggi demi menyelamatkan penduduk.
"Saya arahkan anggota cari mangsa. Keadaan bising, api menjulang tinggi. Kami masuk ke setiap lorong rumah untuk selamatkan mangsa. Ada yang masih dalam rumah sebab mereka takut keluar," katanya yang berpengalaman 14 tahun sebagai anggota bomba.
Bercerita lanjut, Mohamad Fadhil berkata, mereka mengambil masa dua jam untuk menyelamatkan mangsa dan pada masa sama anggota lain menyiram anggota bertugas supaya pakaian mereka tidak terlalu panas.
Dalam operasi itu ada beberapa anggota mengalami kecederaan kecil termasuk Mohamad Fadhil akibat suhu terlampau panas.
“Ini kali pertama kami berdepan insiden seperti ini. Operasi pemadaman dilakukan dengan kaedah penyejukan (colling). Untuk kebakaran gas, api hanya boleh padam kalau punca gas ditutup.
"Jadi kami tumpu siraman di kawasan sekitar kebakaran supaya api tak merebak lebih luas.
[caption id="attachment_709589" align="aligncenter" width="1024"] Rumah mangsa letupan paip gas dalam proses baik pulih ketika tinjauan di Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights, Subang Jaya pada 1 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Ada mangsa cedera, saya serta beberapa anggota lain juga alami kecederaan kecil akibat suhu panas tapi perkara ini biasa kalau terbabit operasi pemadaman,” katanya yang berkampung di kawasan berkenaan hampir sebulan.
Kebakaran itu dipadam kira-kira lapan jam kemudian dan Mohamad Fadhil berkata sepanjang tempoh itu beliau bimbang memikirkan sekiranya ada penduduk terkorban.
Bagaimanapun perasaan lega hanya timbul keesokan hari selepas siasatan terperinci mendapati tiada mangsa terkorban walaupun kebakaran itu memusnahkan banyak harta benda.
“Esoknya baru saya lega. Kalau ada mayat ditemui, operasi ini gagal. Saya bersyukur semuanya selamat. Pagi esok, saya datang semula ke kawasan berkenaan dan terkejut melihat kawah besar terbentuk.
“Sekitar kawasan berwarna coklat disebabkan debu kawah. Melihat rumah, kereta rosak teruk. Tak pernah saya berdepan situasi seperti ini. Apa pun saya bersyukur tiada nyawa terlibat,"katanya.
Sementara itu Pegawai Bomba Kanan I Darren Coswell, 30, turut berkongsi pengalaman menyelamatkan tiga beranak yang tidak mampu keluar dari rumah berikutan kecederaan dialami.
Katanya, beliau bersama pasukan masuk ke setiap lorong perumahan untuk mencari mangsa terperangkap dan ternampak mangsa seorang lelaki dewasa dan dua remaja perempuan berselindung di sebalik dinding rumah.
[caption id="attachment_709588" align="alignright" width="500"] Pegawai Bomba Kanan I Daren Coswell menceritakan pengalaman dalam operasi pemadaman kebakaran saluran paip gas di Putra Heights ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya pada 2 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau terus mendekati mereka dan mendapati tapak kaki mangsa melecur menyebabkannya tidak boleh memijak. Mungkin itu punca mereka masih berada di rumah walaupun api semakin marak.
“Kaki mereka berdarah, kulit dah nak tertanggal. Jadi kami terpaksa memikul mereka di belakang secara bergilir-gilir (passing). Jarak nak keluarkan mereka ke zon selamat dalam 200 meter.
“Ketika itu agak kelam kabut. Dengan pakaian seragam berat, kena pikul mereka tapi kami buat sebaiknya. Mungkin semangat nak selamatkan mereka tinggi. Kalau kami lambat, mereka boleh menemui ajal.
“Sepanjang tempoh menyelamat itu, haba sangat panas. Dengan bunyi gas kuat, memang risau kalau ada letupan lagi. Banyak tenaga keluar sebab kami ulang alik dari lokasi ke zon selamat untuk pastikan tiada tertinggal,” katanya.
Berkhidmat sejak lapan tahun lalu, Darren berkata ada ketika mereka terpaksa menggunakan laluan saluran gas demi menyelamatkan mangsa kerana jarak yang dekat.
“Ini satu pengalaman yang sukar dilupakan dan berharga. Kita lihat api marak besar, pandang atas nampak api. Kereta cair, rumah musnah. Memang huru-hara tapi keadaan terkawal.
“Rasanya ini kes kebakaran saluran gas pertama yang melibatkan orang awam. Syukur tiada mangsa terkorban,” katanya.
Tragedi itu mengakibatkan 81 rumah musnah, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21 X 24 meter di lokasi.
[caption id="attachment_700569" align="aligncenter" width="1168"] Penyelia Balai Bomba Subang Jaya Ismail Yusof (tiga kanan) bergambar bersama pasukan bomba yang terlibat dalam insiden letupan paip gas Putra Heights dan Sukarelawan Asiaworks Malaysia pada majlis penghargaan di Balai Bomba Subang Jaya pada 11 Mei 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_699340" align="aligncenter" width="1246"] Keadaan rumah dan kenderaan yang rosak akibat kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya ketika lawatan media bersama polis di lokasi tragedi pada 30 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_699160" align="aligncenter" width="1180"] Alatan taman permainan cair akibat bahang panas kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 30 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]