AGENDA

Malaysia jana potensi pelaburan RM4 bilion, eksport RM675 juta misi perdagangan ke Perancis

9 Jul 2025, 7:22 AM
Malaysia jana potensi pelaburan RM4 bilion, eksport RM675 juta misi perdagangan ke Perancis

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Malaysia berjaya menjana potensi pelaburan bernilai RM4 bilion dan potensi eksport RM675 juta ketika misi perdagangan dan pelaburan ke Perancis yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Julai lalu.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Anwar bertemu 40 wakil sektor perindustrian Perancis, dengan beberapa syarikat menyatakan hasrat untuk melabur dalam pembuatan berteknologi tinggi, aeroangkasa, tenaga boleh baharu, pelancongan dan hospitaliti, ekonomi digital dan infrastruktur mampan.

"Bagi potensi eksport, RM675 juta dijana untuk sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, automotif, tenaga boleh baharu, farmaseutikal, ekonomi digital, gaya hidup dan industri halal.

"Ini adalah sektor yang disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Pelaburan Hijau,” katanya.

MITI berkata, syarikat terbabit turut berkongsi hasrat untuk terus melabur di Malaysia, didorong oleh faktor utama seperti ekosistem pelaburan yang kondusif, stabil dan dinamik; permintaan global yang menggalakkan terhadap produk buatan Malaysia; rantaian bekalan domestik yang cekap; tenaga kerja berkemahiran tinggi; dan dasar kerajaan yang mesra pelabur.

Delegasi misi itu turut disertai Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan wakil daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Sementara itu Tengku Zafrul berkata, kejayaan keseluruhan misi itu mencerminkan keyakinan berterusan syarikat asing terhadap dasar mesra pelabur, ekosistem rantaian bekalan, daya saing dan potensi pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Potensi pelaburan dan perdagangan yang bakal direalisasikan itu juga akan menyediakan peluang perniagaan kepada syarikat tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, dan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.

"Semua ini adalah kunci dalam memacu agenda transformasi ekonomi Madani kita,” katanya.

Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil dari 1 hingga 8 Julai.

Selain Tengku Zafrul, Anwar turut diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Turut serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619