AGENDA

Pegawai, anggota AKPS salah guna kuasa berisiko dibuang kerja

8 Jul 2025, 11:08 AM
Pegawai, anggota AKPS salah guna kuasa berisiko dibuang kerja

SEPANG, 8 JULAI: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bakal mengambil tindakan lebih serius termasuk buang kerja terhadap pegawai atau anggotanya yang didapati terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau salah guna kuasa.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata perkara itu merupakan antara cadangan yang akan dikemukakannya sebagai sebahagian daripada langkah untuk memperkukuh operasi di pintu masuk dan sempadan negara.

Beliau berkata anggota dan pegawai AKPS perlu memiliki integriti tinggi kerana mereka dipertanggungjawabkan dengan bidang kuasa yang besar di pintu masuk negara.

“Apa yang saya tekankan agak sedikit serius dalam memastikan budaya integriti diutamakan kerana apabila kita menggabungkan banyak tugasan, sudah tentu kuasa itu semakin luas.

“Semakin luas kuasa seseorang itu, maka (makin) terbuka ruang dan peluang yang tidak sihat. Saya mungkin mencadangkan beberapa prosedur pengambilan (petugas) selain penamatan kerja yang lebih serius sekiranya seseorang itu didapati terlibat dalam aktiviti penyeludupan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja pertamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Beliau berkata AKPS akan meneliti beberapa prosedur operasi standard (SOP) serta pengenalan fasiliti baharu bagi memastikan operasi di semua pintu masuk negara diperkemaskan serta berada di tahap tertinggi.

“Adalah tanggungjawab saya untuk memastikan kemudahan (di pintu masuk negara) berada pada tahap imej (peringkat) antarabangsa seperti yang ingin dipaparkan kerajaan,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata bagi fasa pertama, AKPS dipertanggungjawabkan untuk mengawal di 22 pintu masuk negara selaras Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860).

“Pada masa ini, fokus saya untuk memperkuatkan tempat yang diwartakan, kemudian baru kita kembangkan kepada ruang lingkup kerja risikan dan pencegahan yang memberi kuasa di luar tempat yang diwartakan,” katanya.

AKPS berfungsi sebagai agensi tunggal di sempadan, menyatukan kepakaran dan sumber dari pelbagai jabatan kerajaan untuk menyelaraskan operasi di semua pintu masuk negara.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619