ad
AGENDA

Polis buru kumpulan berbasikal halang laluan bas di Kuala Selangor

8 Jul 2025, 6:09 AM
Polis buru kumpulan berbasikal halang laluan bas di Kuala Selangor
Polis buru kumpulan berbasikal halang laluan bas di Kuala Selangor

SHAH ALAM, 8 JULAI: Polis sedang mengesan sekumpulan pengayuh basikal yang didakwa menghalang laluan sebuah bas di Kilometer 23, Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur arah Sungai Buloh, selepas insiden itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan menunggang secara berkumpulan di lorong kiri sehingga dipercayai menyekat pergerakan bas berkenaan.

“Kejadian dipercayai berlaku pada 7 Julai lalu kira-kira jam 9.35 pagi. Kes disiasat mengikut Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang secara beriringan. Bagaimanapun, tiada kemalangan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

[caption id="attachment_709297" align="aligncenter" width="481"] Tangkap layar pertelingkahan antara pemandu bas dengan sekumpulan pengayuh basikal yang tular di media sosial.[/caption]

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Dalam masa sama, Azaharudin mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan saling menghormati hak serta keselamatan pengguna lain.

Terdahulu, kejadian itu dirakam dan dimuat naik ke laman Facebook, memaparkan pertelingkahan antara pemandu bas dan kumpulan pengayuh basikal terbabit.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.