AGENDA

Bapa, anak ditahan disyaki terlibat kes bunuh pemandu e-panggilan

8 Jul 2025, 5:49 AM
Bapa, anak ditahan disyaki terlibat kes bunuh pemandu e-panggilan

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Dua beranak ditahan selepas disyaki terlibat kes pembunuhan seorang pemandu e-panggilan yang dipercayai berhutang dengan mereka, di sebuah rumah di Taman Pandan Perdana, Ampang di Selangor, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata bapa dan anak lelakinya, masing-masing berusia 73 dan 36 tahun itu ditahan antara 26 hingga 28 Jun lalu, setelah bedah siasat terhadap mangsa mendapati terdapat unsur jenayah.

Beliau berkata polis turut merampas rotan buluh dan playar boleh laras.

Polis menerima maklumat mengenai kematian lelaki berusia 37 tahun terbabit di kediaman kedua-dua suspek daripada petugas kesihatan Hospital Kuala Lumpur pada 7.16 petang, 22 Jun lalu.

Mohd Azam berkata anggota polis kemudian ke lokasi kejadian dan siasatan awal mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh.

“Selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Ampang dan laporan diperoleh pada 23 Julai lepas, didapati terdapat unsur jenayah, punca kematian mangsa adalah kerana jangkitan kuman pada otot disebabkan kecederaan pada kulit dan tulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua suspek yang bekerja sendiri itu direman 14 hari bermula 27 Jun lalu hingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619