AGENSI

Mais tekad pastikan pentadbiran Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah

7 Jul 2025, 12:15 PM
Mais tekad pastikan pentadbiran Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah

SHAH ALAM, 7 JUL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) komited memastikan pentadbiran Islam di Selangor terus berpacukan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta bebas daripada pengaruh ajaran sesat, kata Pengerusinya Datuk Salehuddin Saidin.

Beliau berkata untuk itu, Mais bersama-sama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Jabatan Mufti Selangor dan agensi lain akan memperhebat aktiviti pencerahan serta penerapan kefahaman berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada seluruh masyarakat negeri ini.

“Ia termasuk melalui program pengajaran agama Islam melalui pemegang tauliah mengajar agama dan juga aktiviti pengimarahan di masjid serta surau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Salehuddin berkata tindakan bagi memperkukuh kedudukan Ahli Sunnah Wal Jamaah itu adalah selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Agama Negeri yang menekankan kepentingan menjaga kemurnian akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan umat Islam di negeri ini serta keperluan untuk memperjelaskan kedudukannya dalam perundangan.

“Kefahaman dan penghayatan yang mantap terhadap akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ini diharap akan menjadi asas utama kepada pengukuhan perpaduan dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah dan semua pihak yang terlibat dalam penyediaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 berkaitan Mais dan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Pindaan RUU ini antaranya bertujuan menjelaskan kriteria pelantikan anggota Mais selain anggota ex-officio, anggota Jawatankuasa Fatwa, anggota Jawatankuasa Tauliah dan anggota Jawatankuasa Rayuan Tauliah hendaklah dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pindaan itu juga dapat mencegah pelantikan individu yang berpandangan ekstrem, liberal atau cenderung kepada fahaman yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam pentadbiran hal ehwal Islam di Selangor.

Terdahulu, DUN Selangor sebulat suara meluluskan RUU yang melibatkan pindaan kepada 10 fasal itu selepas dibentangkan oleh Mohammad Fahmi untuk bacaan kali ketiga dan dibahaskan oleh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619