AGENDA

Negara sokong 'dasar anti-Amerika' BRICS dikena tarif tambahan 10 peratus

7 Jul 2025, 7:44 AM
Negara sokong 'dasar anti-Amerika' BRICS dikena tarif tambahan 10 peratus

ISTANBUL, 7 JULAI: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada lewat Ahad memberi amaran mana-mana negara yang menyokong "dasar anti-Amerika" blok ekonomi BRICS akan dikenakan tarif tambahan sebanyak 10 peratus, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Tiada pengecualian untuk dasar ini,” tulis beliau di platform Truth Social miliknya.

Dalam hantaran lain, beliau mengumumkan bahawa surat tarif AS dan/atau perjanjian dengan pelbagai negara di seluruh dunia “akan dihantar bermula 12 tengah hari (1600GMT), Isnin, 7 Julai.”

Pada akhir Januari lalu, Trump berkata “tiada kemungkinan bahawa BRICS akan menggantikan dolar Amerika dalam perdagangan antarabangsa atau mana-mana tempat lain.”

“Kami akan menuntut komitmen daripada negara yang kelihatan bermusuh ini agar mereka tidak akan mencipta mata wang BRICS baharu atau menyokong mana-mana mata wang lain untuk menggantikan dolar AS, atau mereka akan berdepan tarif 100 peratus,” tambahnya.

Negara anggota BRICS telah membincangkan usaha untuk beralih daripada penggunaan dolar sejak beberapa tahun lalu, dengan perbincangan semakin meningkat selepas AS mengenakan sekatan ke atas Rusia pada 2022 susulan permulaan “operasi ketenteraan khas” negara itu di Ukraine.

Kenyataan Trump pada Ahad dibuat ketika para pemimpin dan wakil BRICS berkumpul di Rio de Janeiro untuk sidang kemuncak tahunan ke-17 blok itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619