SHAH ALAM, 6 JULAI: Orang ramai dipelawa memeriahkan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor (SCBF) bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam, dari 24 hingga 27 Julai ini.
Acara anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu menawarkan pelbagai jenis buku dengan diskaun menarik selain dimeriahkan aktiviti untuk seisi keluarga.
"Jom bawa seisi keluarga! Pelbagai aktiviti menyeronokkan menanti anda seperti aktiviti seni & kraf, sesi bercerita & bertemu penulis, persembahan khas kanak-kanak, hadiah menarik & cabutan bertuah serta jualan buku dengan diskaun hebat!
Jangan lepaskan peluang untuk habiskan masa berkualiti bersama anak-anak sambil menyemai minat membaca sejak kecil,” maklum PPAS di Facebook.
Sebelum ini, Ketua Bahagian Korporat PPAS Zafrullah Aris berkata pesta empat hari itu disertai kira-kira 100 penerbit dan penjual buku selain menyasarkan kehadiran 90,000 pengunjung.
Selangor julung kali menganjurkan pesta buku kanak-kanak pada Julai 2023 bagi menggalakkan budaya membaca selain mengembangkan lagi industri buku, tidak hanya tertumpu kepada genre ilmiah, fizik dan agama semata-mata.
Negeri ini juga menganjurkan Pesta Buku Selangor sejak 2006 sebelum dijenamakan sebagai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) mulai 2022.
