ad
ADN

Air Selangor ganti paip, turap semula Jalan SS6/3

6 Jul 2025, 2:00 AM
Air Selangor ganti paip, turap semula Jalan SS6/3

OLEH AIDA NYAN

SHAH ALAM, 5 JULAI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan melaksanakan kerja turapan semula di sekitar Jalan SS6/3 Kelana, Jaya selepas selesai projek penggantian paip di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pembaikan jalan berkenaan dilaksanakan mengikut perancangan dan selaras dengan tatacara kerja penyelenggaraan infrastruktur.

Namun katanya, sehingga kini kerja turapan penuh masih belum dilaksanakan kerana Air Selangor memaklumkan perlu menunggu kerja penggantian sebuah injap utama di lokasi sama.

"Saya tahu memang menyukarkan dan menyulitkan penunggang motosikal, bahaya kepada mereka dan tidak selesa kepada pengguna jalan raya.

"Pembaikan itu bukan di pihak Jabatan Kerja Raya atau pihak majlis tetapi Air Selangor akan membiayai turapan penuh tersebut," katanya menerusi video di Instagram.

24 Oktober tahun lalu, isu jalan berlubang di lokasi sama pernah dibangkitkan menerusi media sosial.

Susulan itu, Fahmi memaklumkan bahawa kerja penurapan semula telah dijalankan oleh Air Selangor dengan pemantauan pihak Kusel.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.