AGENDA

Malaysia perkukuh hubungan dua hala dengan Kanada dalam pelbagai bidang strategik

4 Jul 2025, 9:46 AM
Malaysia perkukuh hubungan dua hala dengan Kanada dalam pelbagai bidang strategik

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Kanada, merangkumi pelbagai bidang strategik seperti perdagangan dan pelaburan, kerjasama pertahanan, tenaga bersih, transformasi digital serta teknologi baharu.

Perkara itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dalam lawatan rasmi ke Paris, Perancis, kepada Perdana Menteri Kanada Mark Carney menerusi panggilan telefon, dan beliau turut mengucapkan tahniah kepada Carney atas kemenangan Parti Liberal dalam Pilihan Raya Persekutuan Kanada baru-baru ini.

“Saya menyambut baik penglibatan berterusan Petronas dalam projek LNG Canada, yang merupakan simbol kukuh kerjasama tenaga di antara kedua-dua negara dan berpotensi menjadi pemangkin kepada inisiatif hijau dan peralihan tenaga masa depan,” kata beliau.

Perdana menteri berkata sebagai anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Malaysia dan Kanada berkongsi tekad memperjuangkan prinsip perdagangan bebas, terbuka dan berasaskan multilateralisme yang adil serta inklusif.

Anwar turut menyuarakan harapan agar Kanada dapat mempertimbangkan semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia, selaras dengan layanan yang diberikan kepada negara Komanwel lain, demi memperkukuh hubungan antara rakyat dan memperluas pertukaran pelbagai hala.

“Kami juga menegaskan kepentingan memperkukuh Perkongsian Strategik Asean-Kanada, dan berharap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-Kanada dapat dimuktamadkan secepat mungkin demi manfaat bersama,” kata beliau.

Anwar turut menjemput Carney untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh ikatan persahabatan antara kedua-dua negara.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619