AGENDA

Menteri: Henti normalisasikan maksiat, ganding bahu selamatkan generasi pewaris

3 Jul 2025, 5:00 PM
Menteri: Henti normalisasikan maksiat, ganding bahu selamatkan generasi pewaris

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Tindakan menormalisasikan perbuatan maksiat atas nama kebebasan peribadi mesti dihentikan dan masyarakat perlu bangkit membina benteng akhlak serta rohani, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau yang bimbang dengan laporan bahawa 1,091 penuntut Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dikesan menghidap HIV antara 2020 hingga 2024, dengan 222 kes baharu dilaporkan tahun lalu berkata pendidikan, kesedaran serta penguatkuasaan perlu berjalan seiring bagi menangani masalah terbabit.

Sehubungan dengan itu, Mohd Na’im berkata agensi agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan mesti berganding bahu menyelamatkan generasi pewaris negara.

"Data ini sungguh memilukan. Majoriti kes melibatkan remaja berusia 18 hingga 19 tahun. Sebagai menteri yang memikul amanah hal ehwal agama, saya amat risau dengan trend yang membimbangkan ini.

"Kepada pelajar dan belia, peliharalah maruah diri dan pegang teguh nilai murni. Agama bukan sekadar ilmu untuk dipelajari, tetapi juga pedoman hidup yang perlu diamalkan. Hidup berprinsip, bukan sekadar mengikut arus," katanya menerusi catatan Facebook.

Pendedahan mengenai jumlah jangkitan itu dibuat Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Media Mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan 2024 di ibu negara, Selasa lalu.

Lukanisman turut mengakui wujud kekangan dari segi akses remaja bawah umur kepada ujian kendiri HIV dan rawatan susulan kerana tiada peruntukan undang-undang membenarkan mereka menjalani saringan tanpa kebenaran ibu bapa.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619