ad
AGENDA

Dasar Speed Selangor dilancar Oktober, kelulusan pelaburan lebih pantas, cekap

3 Jul 2025, 3:11 PM
Dasar Speed Selangor dilancar Oktober, kelulusan pelaburan lebih pantas, cekap

SEPANG, 3 JUL: Dasar Speed Selangor yang diperkenalkan untuk mempercepat kelulusan urusan perniagaan serta pelaburan, bakal dilancarkan Oktober depan.

Dato' Menteri Besar berkata inisiatif strategik untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri itu menumpu penambahbaikan prosedur, proses kelulusan dan urusan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) agar lebih pantas dan cekap.

“Langkah pertama fokusnya adalah untuk kelulusan urusan-urusan bersama dengan pemaju dan pelabur pembangunan menerusi empat elemen yang akan kita perincikan nanti.

“Dalam rangka ke hadapan, ia akan turut merangkumi aspek hubungan langsung dengan rakyat seperti aduan dan sebagainya,” katanya selepas melancarkan program publisiti dan penyertaan awam bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang Selangor 2035 (Penggantian) di sini, hari ini.

Jelas Amirudin, Dasar Speed Selangor adalah rangkuman dan penyeragaman pelbagai program dan pendekatan sedia ada yang sebelum ini dilaksanakan secara berasingan oleh PBT termasuk dalam mempercepat urusan kelulusan perancangan kawasan industri untuk menarik pelaburan.

“Ada kelulusan yang biasanya dua bulan boleh dipendekkan menjadi satu bulan. Ada yang tiga bulan boleh menjadi hingga kurang satu bulan. Ini semua telah diputuskan dalam satu bengkel yang diuruskan oleh unit perancang ekonomi negeri.

“Sebenarnya Speed Selangor sudah kita jelmakan dalam beberapa urusan pelaburan termasuklah Taman Perindustrian Automotif Pintar Chery dan UMW Aerospace di Hulu Selangor,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Amirudin memperkenalkan Dasar Speed Selangor bagi memendekkan tempoh kelulusan kebenaran merancang kawasan industri dari 3.5 bulan kepada 14 hari.

Menurutnya, dasar berkenaan sejajar dengan agenda Kerajaan Negeri sebagai pemudah cara perniagaan selain memberi tumpuan kepada industri baharu bertapak di Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.