AGENDA

Cubaan seludup e-sisa, skrap logam bernilai RM4.4 juta gagal

3 Jul 2025, 3:04 PM
Cubaan seludup e-sisa, skrap logam bernilai RM4.4 juta gagal

BENTONG, 3 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang mematahkan dua cubaan menyeludup masuk sisa buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) serta skrap logam dari luar negara menggunakan tujuh kontena dengan nilai rampasan dianggarkan RM4.4 juta di Pelabuhan Klang, Selangor.

Pengarah JKDM Pahang Mohd Asri Seman berkata operasi melibatkan dua serbuan serentak itu dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bentong dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 21 Mei lalu.

“Dalam serbuan 1.15 tengah hari itu, kita memeriksa tiga kontena bersaiz 12.2 meter dan mendapati ia mengandungi e-waste seberat 46,726 kilogram (kg) bernilai RM700,890 tanpa cukai.

“Barangan itu dipercayai diimport tanpa permit atau membuat pengikraran dagangan import dalam borang kastam satu secara tidak betul,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Asri berkata dalam serbuan kedua di lokasi dan waktu sama, pihaknya menahan empat kontena mengandungi bahan kepingan aluminium dipercayai diikrarkan secara tidak betul dalam borang kastam satu sebagai barangan lain.

“Rampasan kepingan aluminium itu berjumlah 105,760 kg dengan nilai anggaran RM3.7 juta tanpa cukai,” katanya.

Mohd Asri berkata pengimportan barangan skrap itu tertakluk kepada sijil kelulusan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan di bawah seliaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Beliau berkata modus operandi penyeludupan itu adalah dengan membuat pengikraran tidak benar dalam borang kastam satu dengan mengikrarkan dagangan sebagai copper concentrate bagi mengelakkan keperluan permit import.

Siasatan dua kes terbabit dijalankan mengikut Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619