AGENDA

KPKT: Kontraktor MyKiosk dilantik melalui sebut harga terbuka, kekal prinsip integriti

2 Jul 2025, 9:21 PM
KPKT: Kontraktor MyKiosk dilantik melalui sebut harga terbuka, kekal prinsip integriti

PUTRAJAYA, 2 JULAI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengalu-alukan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan inisiatif MyKiosk.

KPKT hari ini memaklumkan pihaknya telah secara sukarela menyerahkan dokumen berkaitan pelaksanaan inisiatif MyKiosk kepada SPRM pada 22 Mei lepas, sekali gus mencerminkan komitmen kementerian itu terhadap prinsip integriti dan ketelusan.

"Semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk telah dilaksanakan oleh 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sebut harga terbuka.

"Sebanyak 795 kontraktor MyKiosk telah dilantik oleh PBT masing-masing di seluruh negara dalam pembelian dan penempatan MyKiosk," menurut KPKT dalam kenyataan.

Inisiatif MyKiosk adalah satu daripada inisiatif di bawah KPKT yang bertujuan memperkasakan ekonomi peniaga kecil.

Kos siling bagi MyKiosk 2.0 yang ditetapkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan adalah RM25,000 setiap unit.

KPKT memaklumkan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak sekiranya terdapat elemen rasuah atau penyelewengan dalam proses perolehan atau pelaksanaan inisiatif itu di peringkat PBT.

"KPKT turut memperkukuh budaya integriti dalaman melalui pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan Sistem Lampu Isyarat dan penubuhan Unit Integriti di setiap PBT bagi memantau dan menilai prestasi integriti serta membasmi amalan rasuah di peringkat PBT," menurut kementerian itu.

Terdahulu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus mengesahkan SPRM telah memulakan siasatan berhubung dakwaan wujudnya amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaan MyKiosk.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619