ad
AGENDA

Projek KSSA ikut jadual ditetap, kerja awalan fasa satu bermula

2 Jul 2025, 5:51 PM
Projek KSSA ikut jadual ditetap, kerja awalan fasa satu bermula
Projek KSSA ikut jadual ditetap, kerja awalan fasa satu bermula
Projek KSSA ikut jadual ditetap, kerja awalan fasa satu bermula

KLANG, 2 JULAI: Pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) mengikut jadual, malah proses perobohan sepenuhnya Stadium Shah Alam siap beberapa hari lebih awal daripada tarikh 30 Jun yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop berkata ketika ini pihaknya sedang melaksana proses perincian reka bentuk asal yang dijangka mengambil masa sehingga enam bulan.

“Kerja awalan di tapak telah bermula iaitu memasang pagar penghadang mengikut perancangan fasa satu dalam projek KSSA.

“Selepas selesai proses perincian reka bentuk yang ambil masa selama enam bulan dan dapat kelulusan dari semua pihak berkuasa, kita jangka mulakan pembinaan pada Oktober atau November ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menghadiri pelancaran pusat pengasingan sampah Sungai Klang, yang disempurnakan Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain, di sini hari ini.

[caption id="attachment_708174" align="aligncenter" width="682"] Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop ditemui pada majlis serahan sumbangan Bakul Makanan Yayasan MBI di Tapak Runtuhan Kolam Takungan Hillpark, Taman Seri Alam, Saujana Utama pada 2 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Saipolyazan berkata projek KSSA akan dibina lebih tinggi sebanyak tiga hingga empat meter berbanding tapak asal dengan mengguna pakai teknik pembinaan konvensional.

Jelasnya, Kerajaan Negeri memilih kaedah pembinaan konvensional berbanding sistem binaan berindustri (IBS) kerana penggunaan kos yang lebih efektif selain dijangka siap sepenuhnya pada 2029.

“Konsep pasang siap (IBS) ini, banyak pembinaan guna konsep pasang siap, mereka hanya buat besi rasuk (beam) di luar dan pasang guna kren. Ia lebih cepat dan bersih di lapangan tetapi kos lebih mahal,” katanya.

Mei lalu, Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima pembangunan KSSA diadakan dengan disaksikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dibangunkan MRCB Land Sdn Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Lembaran Prospek Sdn Bhd, fasa pertama projek KSSA melibatkan pembinaan semula stadium, plaza parkir dan terminal bersepadu yang menghubungkan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Fasa kedua merangkumi pembangunan komersial seperti sayap sukan, belia, teater tertutup yang boleh memuatkan 10,000 orang. Ia juga dilengkapi ruang niaga dan kawasan rekreasi.

Peringkat terakhir, pembinaan hotel yang boleh digunakan pada akhir 2029. Ini sekali gus menjadikan KSSA sebagai pusat integrasi sukan, budaya, kemasyarakatan dan keusahawanan.

[caption id="attachment_708176" align="aligncenter" width="701"] Permandangan proses perobohan Stadium Shah Alam ketika tinjauan di Seksyen 13, Shah Alam pada 11 November 2024. Foto ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.