AGENDA

Tiga maut kemalangan kenderaan pacuan empat roda dengan treler

2 Jul 2025, 11:23 AM
Tiga maut kemalangan kenderaan pacuan empat roda dengan treler

LAHAD DATU, 2 JULAI: Tiga lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah treler membawa muatan minyak sawit di Batu 16, Jalan Lahad Datu-Sandakan di sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata mangsa yang maut adalah pemandu pacuan empat roda berusia 28 tahun, penumpang hadapan dan belakang.

"Kesemua mangsa tersepit dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

"Pemandu treler lelaki berusia 61 tahun mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumsoa berkata pihaknya menerima panggilan melalui MERS999 berhubung kemalangan itu pada 8.52 malam dan sepasukan 12 anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan bergegas ke lokasi sejauh 30 kilometer dari balai bomba berkenaan.

Operasi menyelamat ditamatkan pada 12.40 tengah malam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Jimmy Panyau berkata siasatan awal mendapati kenderaan jenis pacuan empat roda itu dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori tangki.

"Akibat kemalangan itu, lori dan pacuan empat roda terseret ke gaung sebelah kiri jalan (dari arah Lahad Datu ke Sandakan), pacuan empat roda itu juga melanggar sebatang pokok kelapa sawit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jimmy berkata saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohamad Humaidi Harun di talian 089-881255 atau tampil ke balai polis di sini bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619