AGENDA

Pelaburan palsu: Mangsa buat 136 transaksi pindahan wang, rugi lebih RM2.7 juta

1 Jul 2025, 10:45 PM
Pelaburan palsu: Mangsa buat 136 transaksi pindahan wang, rugi lebih RM2.7 juta

IPOH, 1 JULAI: Seorang perunding minyak dan gas kerugian lebih RM2.7 juta akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi di laman sesawang dikenali “Nova 88”.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia 37 tahun itu telah mendaftar akaun pelaburan di laman web berkenaan pada April 2023 melalui suspek yang dikenali menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata mangsa kemudiannya telah membuat bayaran deposit pertama berjumlah RM30,000 ke akaun yang diberi dan seterusnya diberikan pengenalan pengguna (ID) serta kata laluan untuk melihat nilai pelaburan berkenaan.

“Bermula dari 5 Jun 2024 hingga 20 Mei 2025, mangsa telah membuat 136 kali transaksi pindahan wang ke tujuh akaun yang berlainan berjumlah RM2,701,687. Sumber kewangan mangsa adalah hasil simpanan sendiri dan juga wang daripada ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisam berkata mangsa mula rasa tertipu apabila diminta membuat bayaran terlebih dahulu setiap kali ingin mengeluarkan keuntungan, namun sehingga kini wang berkenaan masih gagal dikeluarkan manakala suspek pula sering memberikan alasan sebelum gagal dihubungi.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Selain itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang bentuk pelaburan ditawarkan menerusi laman sesawang tidak sah, tidak berdaftar atau tidak dikawal selia oleh pihak berkuasa diiktiraf.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619