AGENDA

UPMS diharap dapat tarik lebih ramai pelajar Borneo, Semenanjung

1 Jul 2025, 9:00 AM
UPMS diharap dapat tarik lebih ramai pelajar Borneo, Semenanjung
UPMS diharap dapat tarik lebih ramai pelajar Borneo, Semenanjung

Oleh AIDA NYAN

SHAH ALAM, 1 JULAI: Penjenamaan semula Universiti Putra Malaysia (UPM) kampus Bintulu sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) diharap dapat menarik lebih ramai pelajar Borneo dan Semenanjung sekali gus mengukuhkan lagi peranan universiti itu sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi.

Naib Canselor UPM, Dato' Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata kekuatan UPM sebagai universiti penyelidikan juga diharap dapat menjadikannya sebagai pilihan utama pelajar dari rantau Borneo, termasuk dari negara jiran.

"Kita harap pelajar Sarawak ada tempat lebih, bukan saja di Sarawak tetapi juga di UPM Serdang. Kita juga mahu galakkan pelajar dari Semenanjung ke Sarawak kerana ini satu pengalaman yang bermakna," jelas beliau.

"Bila kita tukar ke UPM Sarawak, kerjasama antara Sarawak dengan UPM akan lebih mantap. Ia satu penghormatan untuk UPM guna nama ini dan terus bantu kerajaan negeri," katanya ketika menghadiri majlis pengisytiharan UPMS di Istana Alam Shah, Klang semalam.

Terdahulu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengisytihar penjenamaan semula universiti berkenaan.

[caption id="attachment_707844" align="alignnone" width="932"] Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menandatangani plak pada Majlis Pengisytiharan Universiti Putra Malaysia Sarawak di Istana Alam Shah, Klang pada 30 Jun 2025. Foto BERNAMA[/caption]

Tambah Ahmad Farhan, sebagai langkah memperluas peranan akademik dan kemasyarakatan, UPMS akan menubuhkan Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan (SVAS) di UPMS, hasil kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak.

"UPM akan bantu Sarawak lahirkan doktor haiwan yang memang kurang. Kita harap ini akan tarik minat rakyat anak Sarawak untuk ambil jurusan ini dan berkhidmat di negeri sendiri," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak bersetuju menyalurkan pembiayaan dan cadangan itu sedang menunggu kelulusan akhir di peringkat kabinet negeri. Program akademik dijangka bermula seawal tahun hadapan.

"Kita dalam langkah terakhir dan jangka tahun depan sudah boleh mula tawarkan program ini," katanya.

Katanya, UPM Serdang dan UPMS akan terus bergerak secara sinergi dalam merangka pembangunan fakulti baharu yang selari dengan fokus strategik negeri Sarawak, khususnya dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619