AGENDA

Persatuan Sepak Takraw Malaysia setuju tukar nama Persekutuan Sepak Takraw Malaysia

29 Jun 2025, 5:25 PM
Persatuan Sepak Takraw Malaysia setuju tukar nama Persekutuan Sepak Takraw Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bersetuju menukar nama badan induk itu kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia dalam tempoh terdekat.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) semalam selepas usul pindaan perlembagaan yang dibentangkan mendapat sokongan lebih dua pertiga perwakilan.

Bagaimanapun, beliau berkata penukaran nama badan induk itu hanya akan menjadi kenyataan sekiranya pindaan perlembagaan mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS).

“Semua pindaan perlembagaan akan berkuat kuasa setelah mendapat kelulusan daripada PJS. Jadi, kita akan hantar permohonanan itu dalam masa terdekat.

“Selagi tidak dapat kelulusan PJS, kita tidak boleh guna lagi,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSM di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Mengulas berkenaan penukaran nama PSM, Sumali berkata ia bertujuan menyeragamkan dengan nama badan induk sukan lain yang turut menggunakan perkataan Persekutuan.

“Sebenarnya ini bukan benda baharu, kita dah bincang sebelum ini dan ramai sudah setuju sebab ia lebih mencerminkan peranan kita sebagai pentadbir utama sepak takraw negara,” katanya.

Terdahulu, dalam AGM hari ini menyaksikan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dipilih sebagai Timbalan Presiden PSM bagi penggal 2025-2028 selepas mendapat 49 undi menewaskan dua pencabar lain.

Tiga kekosongan jawatan Naib Presiden pula diisi oleh Datuk Abu Jimi Samat dengan 51 undi, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (48 undi) dan Wan Mohd Husni Abdullah (44 undi).

Sebelum ini, Sumali berjaya mengekalkan jawatan sebagai Presiden PSM selepas tidak dicabar oleh mana-mana individu.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619