SHAH ALAM, 29 JUN: Wakil rakyat Kota Kemuning berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan sokongan tambahan bagi membantu menyelesaikan isu banjir berulang dan kerosakan prasarana di kawasan tersebut.
S Preakas memberitahu meskipun Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan menyalurkan bantuan, usaha menangani masalah secara menyeluruh memerlukan kerjasama erat kedua-dua pihak bagi memastikan rakyat tidak terjejas.
“Kerajaan Negeri memang ada membantu, tetapi saya amat berharap Kerajaan Pusat turut beri perhatian. Kami telah menghantar surat kepada Kementerian Kerja Raya untuk baik pulih longkang rosak akibat banjir tahun lepas, namun belum ada maklum balas.
“Contohnya di Bukit Kemuning, jalan masih rosak teruk selepas banjir. Amat penting tindakan ini dipercepat supaya penduduk tidak terus terbeban,” katanya ketika ditemui dalam satu program di sini, hari ini.
[caption id="attachment_707665" align="aligncenter" width="807"] Wakil rakyat Kota Kemuning S Preakas (tengah) meninjau Program Myidentiti DUN Kota Kemuning di Dewan Aster,Bukit Rimau, Shah Alam pada 30 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Mengulas lanjut, Preakas memaklumkan beliau akan membawa isu banjir termasuk permohonan dana bantuan ke persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual membuka tirainya 7 Julai ini.
“Saya juga akan bangkitkan cadangan penambahbaikan sistem penyelarasan dana bencana. Bantuan sedia ada perlu disalurkan dengan lebih pantas dan berkesan kepada mangsa,” katanya.
Selain isu banjir, beliau turut membawa isu keselamatan saluran gas susulan insiden letupan di Putra Heights pada April lalu.
“Kita tidak mahu kejadian sama berulang. Keselamatan infrastruktur perlu diberi keutamaan supaya penduduk berasa selamat,” tambahnya.