AGENDA

JKM bantu pelajar UPSI alami kecacatan kekal mohon kad OKU

29 Jun 2025, 3:53 PM
JKM bantu pelajar UPSI alami kecacatan kekal mohon kad OKU

KEPALA BATAS, 29 JUN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu proses permohonan kad orang kurang upaya (OKU) untuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengalami kecacatan kekal selepas terlibat dalam kemalangan bas pada 9 Jun lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noraini Ahmad berkata pihaknya ketika ini sedang mengumpul maklumat lengkap pelajar terbabit.

"Bagi mereka yang mungkin ada kecacatan kekal, selepas ini JKM akan pergi (kepada pelajar) dan JKM seterusnya membantu untuk memproses permohonan itu … .

"Berapa banyak pelajar yang mengalami kecacatan kekal, data-data itu kita sedang kumpul, kami perlukan maklum balas daripada doktor dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas di Kubang Menerung di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam.

Mengulas lanjut, Noraini berkata pihaknya masih meneruskan sesi kaunseling bukan sahaja kepada pelajar terlibat malah ahli keluarga kerana berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati mereka masih trauma.

Sesi kaunseling turut diberikan kepada keluarga pemandu Perodua Alza yang terlibat dalam nahas itu.

"Semalam, saya melawat mangsa, iaitu keluarga yang menaiki kereta Perodua Alza di rumah mereka dan mendapati mereka masih trauma," katanya.

Dalam kemalangan itu, sebanyak 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas dinaiki mereka yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu, ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak, terbalik di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.

Nahas itu menyebabkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas selain pemandu serta tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619